Home Kenyataan Media PAS Melaka

Belasungkawa | PAS Kota Melaka Rakam Takziah Buat Keluarga Almarhumah Noorfazilah Ismail

1276
SHARE

 

Catatan khas dari PAS Kawasan Kota Melaka buat srikandi PAS Melaka Almarhumah Noorfazilah Ismail.

Damailah Almarhumah di sana.

Pemergian dengan tenang di dalam tidur Almarhumah Noorfazilah Ismail (56 tahun) sekitar pagi 1 Syawal 1441 Hijrah – 24 Mei 2020 merupakan satu peristiwa yang menyaksikan kehilangan srikandi Islam yang teguh istiqamah bersama dalam perjuangan Islam.

Di saat akhir pemergiannya, bakti dan setianya sebagai ummi masih lagi mampu menyediakan makanan raya untuk anak-anak.

Almarhumah tidak mempunyai sebarang sejarah penyakit dan meninggalkan suami dan tujuh orang anak termasuk seorang anak orang kurang upaya (OKU) akibat kemalangan jalanraya.

Almarhumah lulusan Ijazah Perakaunan dari UiTM Shah Alam dan baru setahun bersara sebagai Pegawai Bahagian Kewangan di Yayasan Melaka malah masih menuntut sebagai pelajar Diploma Eksekutif Naqibat (DEN) di Akademi Pengajian Saidatina Aisyah (APSA) Negeri Melaka semester kedua.

Almarhumah pernah memegang jawatan Ahli Jawatankuasa Dewan Muslimat PAS Negeri Melaka, Naib Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Melaka, Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan Kota Melaka dan pelbagai lagi jawatan sama ada di peringkat cawangan, kawasan dan negeri sepanjang lebih 35 tahun istiqamah di dalam Parti Islam Semalaysia (PAS).

Bagi yang mengenali Almarhumah, pasti merasakan kehilangan kerana Armarhumah sangat baik dengan semua orang dan begitu aktif dalam gerak kerja Islam, istiqamah dengan PAS, wakafkan seluruh tenaganya untuk Islam dan berbakti kepada orang susah hingga akhir hayatnya.

Semasa hidupnya Almarhumah adalah seorang hamba Allah yang meletakkan seluruh ketaatannya kepada Yang Maha Esa. Semasa nafasnya masih ada, adalah seorang pengikut yang sungguh taat dan wala’ kepada pimpinan jemaah Islam. Sentiasa meletakkan kecintaannya kepada siapa juga yang memperjuangkan Islam.

Almarhumah juga seorang yang tidak langsung lokek dalam bersedekah dan berbelanja untuk perjuangan Islam malah pada orang sekeliling. Datanglah siapa sahaja yang meminta, beliau akan menjadi tangan di atas yang sentiasa memberi. Mintalah berapa sahaja sebahagian besarnya untuk derma dan perjuangan Islam dan akan menghulur tanpa teragak-agak.

Itulah Almarhumah Noorfazilah Ismail yang bertangan panjang ibarat gelaran Rasulullah kepada isterinya Zainab. Itulah Almarhumah di masa hayatnya.

Antara kata-katanya yang selalu diucapkan Almarhumah adalah ‘’Buat kerja Islam jangan lekeh-lekeh, kena buat betul-betul’’

Pemergiannya bukan hanya dirasai oleh kaum keluarga bahkan sangat dirasai oleh teman seperjuangan, pimpinan malah oleh segenap masyarakat khususnya warga Kota Melaka.

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Kawasan Kota Melaka dengan penuh rasa syahdu dan takzim merakamkan ucapan takziah dan simpati khusus kepada kaum keluarga Almarhumah.

Kami juga mengambil kesempatan ini untuk turut mendoakan agar segala kebaikan dan amal sepanjang hidup almarhumah menjadi saham di akhirat. Semoga rohnya dirahmati Allah dan termasuk dikalangan hamba-Nya yang bertaqwa.

Perginya tak kembali, dirindui dan tiada pengganti pada hari yang penuh barakah, selepas 30 hari berpuasa dalam keadaan fitrah.

Marilah sama-sama kita hadiahkan al Fatihah buat Almarhumah.

‎انا لله وانا إليه راجعون
‎ اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لَهما وَارْحَمْهما وَعَافِهما وَاعْفُ عَنْهما، وَأَكْرِمْ نُزلهما، وَوَسِّعْ مَدخلمها، وَاغْسِلْهما بِالْمَاءِ وَالثَّلْجِ وَالْبَرَدِ، وَنَقِّهما مِنَ الْخَطَايَا كَمَا نَقَّيْتَ الثَّوْبَ اْلأَبْيَضَ مِنَ الدَّنَسِ، وَأَبْدِلْهما دَارًا خَيْرًا مِنْ دَارهما، وَأَهْلاً خَيْرًا مِنْ أَهْلِهما، وَزَوْجًا خَيْرًا مِنْ زَوْجهما، وَأَدْخِلْهما الْجَنَّةَ، وَأَعذهما مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ وَعَذَابِ النَّارِ. آمين يَا ربَّ العَالَمِيْن.

Al-Fatihah.


Wartawan Rakyat Melaka (WARM)