Home Berita PAS Kelantan

BEKERJA 4 HARI SEMINGGU: SESUAIKAH UNTUK MALAYSIA?

1103
SHARE

1. Minggu lepas tular dalam beberapa media nasional dan antarabangsa yang memetik cadangan Perdana Menteri termuda di dunia Sanna Marin untuk menjadikan empat hari bekerja seminggu di Finland. Cadangan itu sebenarnya pernah dilontarkan oleh beliau pada bulan Ogos 2019 sewaktu menjawat Menteri Pengangkutan. Namun, tiada tindakan susulan untuk merealisasikan polisi itu. Hal tersebut telah dijelaskan oleh jurucakap kerajaan, Paivi Anttikoski.

2. Adakah waktu kerja kurang enam jam sehari dan empat hari seminggu akan meningkatkan produktiviti kerja? Produktiviti (buruh) bermaksud kemampuan untuk menghasilkan output daripada satu set input yang diberikan dalam tempoh masa tertentu (sejam). Real economic output per labour hour. Ia bertujuan untuk mengukur tahap optimum penghasilan sesuatu output. Produktiviti bergantung kepada tiga faktor utama iaitu sumber manusia, kewangan dan teknologi.

3. Dalam konteks Malaysia, kerajaan PAS Kelantan pernah mengorak langkah pada tahun 1996 memecah tradisi dengan mengumumkan hari bekerja lima hari seminggu berbanding pada masa itu hari bekerja sebanyak enam hari seminggu. Prinsip Almarhum Tuan Guru Nik Aziz pada masa itu mudah, semakin rapat hubungan manusia itu dengan tuhannya dan semakin kukuh instituti kekeluargaan, semakin meningkatlah produktiviti kerjanya. Justeru Jumaat diisytihar sebagai hari ilmu dan Sabtu hari untuk keluarga. Pada awalnya ia disambut sinis oleh pelbagai pihak termasuklah Perdana Menteri keempat pada masa itu namun akhirnya ia ditiru sedikit demi sedikit dan menjadi dasar rasmi kerajaan Malaysia pada sehingga ke hari ini.

4. Bukan keterlaluan juga untuk merujuk kepada pandangan Karl Marx lebih dari seratus tahun dahulu bahawa dalam masyarakat yang adil agihan ekonominya, individu boleh bekerja pada waktu pagi, memancing pada waktu petang dan menulis puisi atau mendengar muzik pada waktu malam. Pandangan Marx ini berlatarkan revolusi perindustrian – zaman tenaga buruh dan kanak-kanak sedang diperah dengan maksima oleh tuan-tuan punya gudang dan fabrik.

5. Saya tertarik dengan ucapan Setiausaha Trades Union Congress (TUC) Frances O’Grady dalam 150th Annual Gathering sekitar bulan September dua tahun lalu. Beliau menyatakan, “In the 19th century, unions campaigned for an eight hour day. In the 20th century, we won the right to the two days weekend and paid holidays. So for the 21st century, let’s lift our ambition again. I believe that in this century we can win a four day working per week, with decent pay for everyone. It’s time to share the wealth from new technology, not allow those at the top to grab it for themselves”.

6. Pada bulan Ogos 2019 lepas, syarikat gergasi Microsoft di Jepun telah membuat satu eksperimen sosial iaitu Work-Life Choice Challenge Summer 2019. Semua 2,300 orang pekerja telah diberi cuti pada hari Jumaat selama lima minggu tanpa dikurangkan gaji. Apakah hasilnya? Pekerja lebih gembira, kadar produktiviti meningkat 40%, penjimatan elektrik dan penggunaan kertas dapat dikurangkan sehingga 23% dan 59%. Ketua Pegawai Eksekutif Takuya Hirano berkata, “Work a short time, rest well and learn a lot”.

7. Banyak syarikat dinamik di dunia seperti Pursuit Marketing (Glasgow), Perpetual Guardian (New Zealand) dan Wellcome Trust (United Kingdom) memilih waktu bekerja empat hari seminggu. Semua menunjukkan korelasi positif antara waktu kerja yang pendek dengan produktiviti. Fokus dan menyusun prioriti yang betul adalah kunci kepada perubahan. Keadaan ini menunjukkan prinsip Pareto dalam bahasa pengurusan adalah terpakai.

8. Selain daripada aspek produktiviti, syarikat-syarikat tersebut juga menumpukan kepada elemen psikologi dan fisiologi pekerja. Gangguan mental dan tekanan adalah antara musuh utama mutakhir ini. Begitu juga hubungan keharmonian kekeluargaan dapat dipupuk dengan lebih baik. Para pekerja boleh mengambil manfaat menggunakan waktu cuti yang lebih panjang untuk meningkatkan ilmu, skil dan mengeksplorasi hobi.

9. Dalam satu artikel yang ditulis di News Straits Times bertarikh 14 April 2019 yang bertajuk, “Shortening Work Week for Greater Productivity” menyatakan terdapat satu dapatan kajian yang menunjukkan purata tempoh (jam) produktif seorang pekerja sehari (8 jam) hanya lebih kurang 2 jam 53 minit sahaja. Kebanyakan waktu lain diperuntukkan untuk kerja-kerja tidak produktif seperti membaca berita dalam talian (65 minit), melayani media sosial (44 minit), berbual bukan hal kerja (40 minit) dan mencari peluang kerja baharu (26 minit).

10. Produktiviti pekerja tidak lagi boleh diukur dengan jumlah waktu bekerja seharian atau jumlah hari seminggu di pejabat. Ia sudah tidak lagi relevan kerana fokus yang lebih penting pada hari ini ialah membaiki keseimbangan mutu kerja dan kehidupan (work life balance). Tambahan pula, pekerja Malaysia dibayar upah lebih rendah (35.2% : KDNK) berbanding dengan sumbangan mereka terhadap pendapatan negara. Negara maju lain jauh mendahului seperti Singapura (45%), Australia (47%), Norway (48%), United Kingdom (57%).

11. Dekad baharu menunjukkan trend pekerjaan telah berubah. Selain penerimaan elemen kecerdasan buatan, ‘internet of things’ dan automasi, dunia sudah mula menjangkau pelbagai transformasi dalam budaya kerja. Contohnya ekonomi gig, pekerja atau kontraktor bebas (freelance), waktu kerja fleksibel dan ‘people enablement’. Survei Global Workplace Analytics and FlexJobs mendapati kerja ‘remote’ tanpa ofis telah berkembang sehingga 90% sepanjang 10 tahun lalu. Hubungan ‘top-down’ majikan dan pekerja juga semakin berkurangan kerana lebih menumpukan kepada pembangunan bakat serta potensi diri.

12. Bekerja empat hari seminggu dilihat sangat baik dan mementingkan produktiviti. Tanpa budaya kerja yang betul, pekerja akan menculas dalam melaksanakan amanah. Dekad baharu yang mengutamakan perkembangan teknologi digital sewajarnya boleh meningkatkan produktiviti ke aras yang lebih tinggi dan lebih memanusiawikan kehidupan. Budaya, trend, sikap dan perspektif dalam dunia pekerjaan mesti diubah selari dengan keperluan zaman.

13. Malaysia sudah mula boleh berfikir ke arah itu.

Ahmad Fadhli bin Shaari,
Ahli Parlimen Pasir Mas.- 14 Januari 2020

Sumber: https://www.facebook.com/ahmadfadhli80/posts/2666678420079646