Home Ketua Penerangan PAS Pusat

Bantah Pengiktirafan UEC Di Malaysia

715 views
SHARE

Kenyataan Media Penerangan. 202/73
24 Syawwal 1439 | 8 Julai 2018

BANTAH PENGIKTIRAFAN UEC DI MALAYSIA

Oleh : Nasrudin bin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat
https://m.facebook.com/kpenerangan

1. Parti Islam SeMalaysia (PAS) membantah pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) yang dikeluarkan oleh Malaysian Independent Chinese Secondary School (MICSS) kerana ia telah mensabotaj strategi pelaksanaan Dasar Pendidikan Kebangsaan dan Akta Pendidikan 1996.

2. Pelaksanaan sistem tersebut samada daripada aspek piawaian, silibus, dan bahasa jelas bercanggah dengan status quo sistem pendidikan yang diamalkan di negara ini.

3. Dua strategi utama untuk mencapai matlamat Dasar Pendidikan Kebangsaan adalah menjadikan Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama di institusi pendidikan negara.

4. Selain itu, kurikulum yang diwujudkan mestilah selaras dan berorientasikan Malaysia bagi semua jenis sekolah. Bahasa Kebangsaan yang dirujuk dalam Akta Pendidikan 1996 ditafsirkan sebagai Bahasa Melayu sepertimana yang telah termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.

5. Begitu juga Seksyen 74 Akta Pendidikan 1996 dengan jelas mengarahkan semua institusi pendidikan swasta mematuhi kehendak Kurikulum Kebangsaan dan menyediakan murid-murid bagi peperiksaan yang telah diselaraskan di peringkat negara.

6. Pengikitirafan UEC seolah-olah memberi satu autonomi yang sangat luas dalam bidang pendidikan untuk tidak patuh kepada dasar dan akta sedia ada sebaliknya berorientasikan negara Taiwan dan China

7. Selama ini, Dong Zong yang agresif menuntut pengiktirafan UEC enggan untuk berkompromi dengan syarat-syarat pematuhan yang telah digariskan oleh Kementerian Pendidikan.

8. Namun sekarang, DAP melalui Timbalan Menteri Pendidikan sewenang-wenangnya mahu pengiktirafan UEC dilakukan hanya dilakukan di peringkat kabinet sehingga mengabaikan suara rakyat dalam kalangan ahli akademik, profesional, NGO dan parti politik yang membantah pengiktirafan ini.

9. PAS mendesak agar pihak kerajaan menghentikan polemik ini. Tindakan mengiktiraf UEC akan merenggangkan semangat perpaduan dan keharmonian kaum di Malaysia.

Sejahtera Bersama Islam

Sekian.