Home Berita PAS Kedah

Babi hutan mengamuk lagi

270
SHARE

Oleh ABD LATEF KASIM

KUALA KETIL, 14 Jun : Nasib menimpa Pak Ya setelah terlibat dalam kemalangan menerima perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri ADUN (Kuala Ketil), Mejar Mansor Zakaria.

YB Mejar Mansor tampil menziarahi Pak Ya di rumahnya di Kampung Charok Bakap petang tadi.

Pak Ya atau nama sebenarnya Zakaria Man, 66, patah tangan kiri akibat dirempuh seekor babi hutan pada 5 Jun lalu.

Kejadian berlaku pada jam 7.02 pagi di Kampung Paya Besar ketika dia dalam perjalanan ke tempat kerja di Bukit Selambau.

Pekerja kebersihan di sebuah syarikat itu berkata, kejadian tersebut menyebabkan punca pendapatannya terjejas.

“Buat waktu ni terpaksa bercuti tanpa gaji. Nak kerja balik pun kena tunggu sampai tangan ni sembuh.

“Tapi alhamdulillah, dengan bantuan YB Mejar Mansor, ringanlah sedikit bebanan saya dan keluarga,” katanya yang menerima sumbangan tunai dan bakul makanan daripada pemimpin PAS berkenaan.

Berkongsi kisah hidup, Pak Ya berkata, dia pernah meringkuk selama 39 tahun dalam tirai besi setelah dijatuhkan hukuman penjara sepanjang hayat.

Menurutnya, ini kerana, dia didapati bersalah di atas kes jenayah rompak bersenjata api termasuk kes curi motosikal.

Di atas belas ihsan, Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah pada waktu itu, Pak Ya akhirnya dibebaskan.

“Saya dipenjara tahun pada usia 22 tahun dan dibebaskan pada 2016 ketika usia 61 tahun,”katanya.

Katanya lagi, hukuman penjara itu benar-benar memberikan pengajaran dan keinsafan buat dirinya.

“Pak Ya mahu menggunakan sisa hidup saya ini di jalan Allah. Pak Ya juga harap dapat menunaikan umrah dan haji suatu hari nanti,” katanya.

Sebelum dibebaskan, Pak Ya pernah menerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah dan Anugerah Penghuni Penjara Terbaik Pokok Sena.

Bagi yang berhasrat membantu Pak Ya boleh salurkan melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) di nombor akaun 02100-41-00037133-7 atas nama Zakaria Man atau boleh hubungi talian 019-5087899.