Home Berita PAS Terengganu

Pengayuh beca, pemandu bot penambang Terengganu terima elaun RM200 sebulan

82
SHARE

KUALA TERENGGANU, 14 Jun – Pengayuh beca dan pemandu bot penambang di negeri ini akan menerima bantuan bulanan sebanyak RM200 bermula bulan depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, inisiatif kerajaan negeri itu berikutan kesan pandemik COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 terhadap golongan terbabit.

Katanya, sumbangan tersebut akan memberi manfaat kepada 57 pengayuh beca dan 18 pemandu bot yang telah direkodkan.

“Bantuan berjumlah RM15 ribu sebulan yang akan berjalan sehingga Disember nanti itu juga bertujuan untuk mengekalkan nostalgia dan nilai warisan pelancongan negeri yang dibawa oleh mereka.

“Fokus sekarang adalah bagi mengenalpasti jumlah sebenar mereka yang beroperasi dalam sektor ini kerana sesetengah kalangan penggiat berumur lebih daripada 80 tahun, Insya-Allah kita akan perincikan kembali data senarai tersebut.

“Saya turut menyarankan kepada mereka supaya berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat agar nasib mereka terbela sebaiknya,” katanya ketika ditemubual di Jeti Bot Penambang, Pasar Payang, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Pelancongan negeri, Mohd Huzairil Nizam Ibrahim dan Pengerusi Persatuan Pelancongan Negeri Terengganu, Tun Baharom Tun Abdul Razak.