KOTA BHARU, 30 Nov: Atlet Kelantan berjaya merangkul 21 pingat dalam acara Sukan Malaysia (SUKMA) Ke-20 2022 yang diadakan di Kuala Lumpur pada 16 hingga 24 September lalu.
Dalam acara tersebut, kontinjen Kelantan yang disertai Majlis Sukan Negeri Kelantan (MSNK) menyertai 26 daripada 31 acara yang dipertandingkan.
Demikian menurut Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO, YB Ustaz Wan Roslan Wan Hamat ketika menjawab soalan bertulis daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemuning pada Persidangan Kali Yang Ketiga (Belanjawan) Bagi Tempoh Penggal Yang Kelima Dewan Negeri Kelantan Ke-14, hari ini.
Katanya, kontinjen Kelantan yang memperolehi tempat ke-14 itu berjaya meraih 21 pingat, antaranya tiga emas, lapan perak dan sepuluh gangsa.
“Manakala untuk peringkat Para SUKMA yang berlangsung pada 1 hingga 6 November lepas, atlet para SUKMA Kelantan mendapat tempat kesembilan dengan 36 pingat diwakili sepuluh emas, 16 perak dan sepuluh gangsa,” hurainya.
Beliau juga memaklumkan Kelantan bersedia menjadi tuan rumah SUKMA ke-22.