Home Berita PAS Perlis

ARC Perlis Bantu Pelajar PASTI Kurang Berkemampuan

657
SHARE

Oleh: Muhammad Hadi

KANGAR : Sesi baharu persekolahan lazimnya diwarnai dengan aktiviti membeli-belah barangan keperluan persekolahan dalam kalangan masyarakat di negara ini.

Namun, hakikatnya, tidak semua golongan dalam masyarakat yang berkemampuan berbuat demikian, apatah lagi dalam suasana rakyat sedang terbeban akibat pandemik Covid-19 pada hari ini.

Menyedari akan hal yang demikian, Alternative Riding Club (ARC) Perlis telah mengambil inisiatif mengadakan program Back To School Bersama ARC Perlis bertempat di Kedai Kain Mariam dekat sini pagi tadi.

Seramai 37 orang pelajar PASTI dari seluruh negeri Perlis yang telah dikenalpasti berasal dari keluarga yang kurang berkemampuan menerima sumbangan berupa pakaian dan peralatan persekolahan.

Menurut pengarah program Othman Idris, pihaknya mendapat kerjasama daripada beberapa buah NGO serta orang perseorangan dalam menjayakan program berkenaan.

“Alhamdulillah, hasil sumbangan yang telah diperolehi daripada pelbagai pihak termasuk NGO dan ahli ARC Perlis telah kita gunakan untuk membiayai kelengkapan persekolahan para pelajar ini.

“Bagi pihak ARC Perlis, saya berharap agar sumbangan yang tidak seberapa ini sedikit-sebanyak membantu meringankan beban perbelanjaan yang perlu ditanggung oleh para waris di samping menggembirakan para pelajar PASTI yang akan memulakan sesi persekolahan 2021 tidak lama lagi,” katanya ketika ditemui di sini pagi tadi.