Home Berita PAS Kelantan

Arak dan Malaysia Baharu

2364
SHARE

TRAGEDI arak beracun yang meragut 23 nyawa kelmarin harus menjadi titik tolak kepada seluruh rakyat Malaysia untuk menolak penggunaan arak dalam kehidupan seharian. Terutama kepada pihak Kerajaan Malaysia Baharu, inilah masanya meminda polisi dan peraturan berkaitan yang selama ini dilihat ‘mesra’ arak.

Perkara ini bukan baharu, tragedi seumpama telah banyak dilaporkan di seluruh dunia. Antara terdekat adalah di negara tetangga kita Indonesia apabila 36 maut di Jawa Tengah tahun 2016. Malah pernah terjadi dalam masa dua minggu, seramai 90 maut di Jawa Barat dan Timur Papua akibat meminum arak tercemar.

Lebih dahulu, Islam sejak 1,400 tahun lampau telah pun mengharamkan arak atas pelbagai keburukan dan kerosakan berimplikasi dari pengambilannya. Maka, dengan tragedi yang berlaku perlu dilihat secara serius terhadap malapetaka arak terhadap umat manusia untuk ditangani secara komprehensif.

Rekod dan kajian turut membuktikan bahawa pengambilan arak telah menyebabkan punca kepada kejadian kemalangan jalan raya, pergaduhan dan pertengkaran. Negara kita juga pernah menyaksikan peristiwa hitam rusuhan kaum di Taman Medan, Petaling Jaya suatu ketika dahulu tercetus dari pengambilan arak juga.

Lebih menakutkan, natijah pengambilan arak hingga berpanjangan kepada jenayah pembunuhan, rogol dan cabul, serta tidak sedikit keganasan rumah tangga. Tiada yang menggembirakan melainkan ianya manifestasi kejayaan taikun-taikun dan pemegang saham industri arak antarabangsa menjana keuntungan.

Namun, di sebalik data kemusnahan moral dan norma masyarakat ini, kerajaan kita masih berterusan dan tanpa rasa bersalah turut mengaut hasil dari industri arak. Apakah Kerajaan Malaysia Baharu tidak mahu membuat penelitian hukum kerana masih membenarkan pengimportan arak selain memberi lesen jualan dan mengambil cukai?

Rakyat Malaysia dilaporkan membelanja USD500 juta atau lebih kurang RM2 bilion untuk minuman keras setahun. Mungkin menjadi kebanggaan bagi pihak tertentu pula apabila pada tahun 2011 Malaysia dinobatkan sebagai 10 negara dunia yang rakyatnya mengambil alkohol dengan kadar tinggi.

Semua ini harus direnung dengan kaca mata iman betapa tiadanya keberkatan dari Allah untuk negara, bahkan sebaliknya mengundang laknat dari-Nya. Allah telah menegaskan dalam ayat 90 surah al-Maidah bahawa arak, judi, sembelihan korban untuk berhala dan nujum adalah kekejian dan lahir dari perbuatan syaitan.

Maka solusi kepada segala kefasadan ini mesti disemak kembali undang-undang berkaitan seperti Akta Eksais 1976, juga Peraturan-peraturan Eksais (Penjualan Liqour memabukkan) 1976 dan Akta Kastam 1967, Seksyen 2 (1) demi kemaslahatan bersama. Selain menggerakkan pendidikan dan kesedaran bersepadu.

Polemik berkaitan juga boleh segera ditamatkan seperti hidangan arak dalam penerbangan MAS, menolak penajaan syarikat arak, menghentikan iklan-iklan arak, serta menghadkan lesen jualan arak mengikut komposisi kaum penduduk. Juga melaksanakan penguatkuasaan ketat terhadap pencegahan dan larangan mengenainya.

Kerajaan Persekutuan harus mencontohi Kelantan dalam soal pengurusan arak. Minuman ini dilarang dijual di hotel, pasar raya dan kedai runcit biasa. Namun, Kerajaan Negeri Kelantan melalui Pihak Berkuasa Tempatan tetap mengeluarkan permit kebenaran bagi premis tertentu menyediakan kepada pelanggan bukan Islam. Kaedah mudah yang boleh dicontohi.

“Islam Memimpin”
“Terus Mara”

NAZMAN CHE IBERAHIM
Pengerusi
Lajnah Pekerja, Pengguna dan Alam Sekitar
Dewan Pemuda PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 21/9/2018

http://www.harakahdaily.net/index.php/berita/15-tanah-air/8183-arak-dan-malaysia-baharu