Home Ketua Penerangan PAS Pusat

Anwar Wajar Bezakan Persepsi Dan Realiti

8,937 views
SHARE

Kenyataan Media Penerangan. 133/4
23 Mei 2017 : 26 Syaaban 1438

ANWAR WAJAR BEZAKAN PERSEPSI DAN REALITI

Oleh : Nasrudin bin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat


1. Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) sewajarnya meneliti terlebih dahulu kenyataan beliau terutamanya beberapa salah faham dan penyelewengan fakta yang dihamburkan terhadap PAS. Ucapan DSAI yang dibacakan sendiri oleh anak beliau, Nurul Izzah pada Kongres Nasional PKR, 21 Mei 2017 mengatakan ;

“They (PAS) did not oppose the GST budget, the rise in fuel and sugar prices and did not participate in the Bersih 5 rally.”

____________

“Mereka (PAS) tidak menolak GST, kenaikan harga minyak dan gula dan tidak terlibat dalam perhimpunan Bersih 5.”

2. Malah, dalam beberapa laporan akhbar menunjukkan kenyataan DSAI bahawa PAS mempunyai aliansi dengan UMNO selepas memutuskan tahaluf dengan PKR.

3. Tohmahan tersebut jelas tidak benar dan jauh dari realiti. Isu GST, PAS adalah parti yang konsisten menolak perlaksanaannya. Presiden PAS, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang (TGHH) pernah mengeluarkan sebuah artikel menjelaskan konsistensi pendirian PAS terhadap GST yang bertajuk “Mengapa PAS menentang GST?” pada 9 Januari 2014.

4. Sebaliknya, persoalan yang sama sepatutnya diajukan kepada DSAI dan PKR, adakah benar mereka menolak secara total perlaksanaan GST? Bagaimana pula dengan kenyataan beliau sendiri yang jelas menyokong dan menyebelahi GST meskipun meletakkan pelbagai syarat dalam perlaksanaannya. Begitu juga kenyataan Nurul Izzah dalam blog beliau pada 29 April 2017 yang menyatakan :

“PH kekal konsisten dengan pendapat kami bahawa GST tidak sepatutnya dilaksanakan secara terburu-buru…”

5. Meletakkan syarat sebelum melaksanakannya bermakna seseorang itu tidak menolak perkara tersebut. Malah, pada Oktober 1992, sewaktu membentang bajet 1993, DSAI turut menegaskan GST perlu dilaksanakan dalam kondisi yang transparent dan efisyen.

6. Beliau turut menyatakan bahawa PAS tidak membantah kenaikan harga minyak dan gula. Barangkali DSAI tidak pernah didedahkan dengan pelbagai kenyataan pimpinan PAS yang menjelaskan pendirian PAS berhubung kedua-dua isu.

7. Begitu juga kenyataan pemimpin PAS yang menolak untuk bergabung dengan UMNO. Malangnya, ramai pemimpin parti politik lain yang mengulas seolah-olah mereka mewakili pendirian PAS dan ramai pula yang lebih mempercayai ucapan-ucapan mereka!

8. Kebelakangan ini DSAI dilihat menggunakan nama PAS untuk diburuk-burukkan dengan pelbagai tohmahan. PAS ingin mengingatkan DSAI bahawa PAS kini konsisten dalam setiap tindakan politiknya sesuai dengan konsep BPMS.

9. Ini juga membuktikan PAS semakin menjadi tumpuan lensa politik di Malaysia. Semua pihak mahu melihat PAS jatuh, malangnya dari sehari ke sehari PAS semakin relevan dan konsisten.

10. Bagaimana DSAI gagal untuk memperoleh maklumat yang tepat mengenai PAS? Sama ada bacaan politik beliau terhadap PAS kini tidak menggambarkan realiti yang ada atau pemimpin PKR gagal salurkan maklumat yang tepat kepada beliau dan sekadar menyampaikan persepsi yang diulas dari mulut mereka sendiri.

Sekian.

{jathumbnail off}