Home Artikel PAS Negeri Sembilan

PAS Negeri Sembilan optimis tawan DUN Labu

611
SHARE

Menghadapi pilihanraya umum ke-14 yang bakal hadir sekurang-kurangnya dalam tempoh setahun lagi, PAS Negeri Sembilan turut tidak ketinggalan melancarkan jentera-jentera pilihan DUN bagi kawasan-kawasan terpilih.

Semalam, 20 Mei 2017 telah berlangsungnya pelancaran Jentera Pilihanraya DUN (JPrD) Labu di Markas PAS DUN Labu dekat Kampung Jijan Tengah dengan jayanya.

Selain itu, turut diadakan ceramah perdana isu semasa yang disampaikan oleh pimpinan-pimpinan PAS peringkat pusat dan negeri.

Antara yang hadir ialah Ahli Jawatankuasa Kerja Dewan Pemuda PAS Malaysia, Saudara Nazman Che Iberahim; Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Tuan Haji Mustaffa Daharun; Yang Dipertua PAS Kawasan Rasah, Ustaz Khairil Anuar Mohd Wafa; Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Sembilan, Tuan Khairul Yazman Yahaya, Pengarah Pilihanraya Pemuda PAS Negeri Sembilan, Saudara Suhaimi Salleh; dan Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Rasah, Ustaz Muhammad Mumtaz Harun.

Untuk rekod, DUN Labu merupakan salah satu DUN yang PAS bertanding dalam Pilihanraya Umum Ke-13 yang lalu di mana ketika itu, calon PAS ialah Ustaz Mohd Khairul Anuar Mohd Wafa tewas kepada calon BN, Datuk Hasim Rusdi dengan majoriti hanya 1, 511 undi sahaja.

Dalam ucapan beliau, Ustaz Khairul Anuar menekankan peri penting kefahaman Islam kepada petugas-petugas gerakan Islam PAS tentang “al-thawabit wal-mutaghayyirat” (tetap dan fleksibel) dalam perjuangan menegakkan Islam. Hakikatnya Dasar yang dibawa oleh PAS adalah Islam dan perkara ini adalah Thawabit, tidak akan berubah. Adapun pendekatan-pendekatan semasa adalah perkara yang mutaghayyiraylt, berubah mengikut kesesuaian zaman tanpa menggadaikan prinsip, sepertimana yang diperkenalkan oleh PAS dalam gagasan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS).

Ucapan Ustaz Mustaffa Daharun pula, beliau menasihati agar semua amilin untuk turun dalam gerak kerja pilihanraya, membaca suasana dan memahami realiti semasa. PAS optimis dalam menawan DUN N.20 Labu, dan bersedia dengan segala kemungkinan sekiranya berlaku pertembungan pelbagai penjuru.

Dalam pada itu, Ustaz Mustaffa juga berkeaempatan mengulas isu dan tindakan yang diambil kepada PAN Negeri Sembilan di mana PAN tanpa segan silu menggunakan premis PAS tanpa kebenaran dalam penganjuran makan malam PAN di Kompleks Latihan Islam Negeri Sembilan (KLINS) baru-baru ini.

KLINS yang terletak di Kampung Ismail, Ampangan itu merupakan premis PAS di mana ianya adalah hasil wakaf tuan tanah tersebut kepada PAS bersesuaian dengan Perlembagaan PAS. Dalam perjanjian wakaf tersebut, dinamakan Pesuruhjaya, Setiausaha dan Bendahari Badan Perhubungan PAS Negeri Sembilan sebagai pemegang amanah bagi kompleks tersebut. Ternyata PAN langsung tidak memohon sebarang kebenaran, malah tidak pernah dipersetujui oleh salah seorang dari pemegang amanah kompleks tersebut.

Ucapan Saudara Nazman Che Iberahim pula menyentuh isu semasa yang berlaku khususnya pendekatan Kerajaan PAS kepada masyarakat di Kelantan, dan menyentuh isu-isu dalam menepis tohmahan yang dilakukan oleh pihak BN dan PAN kepada kerajaan Islam Kelantan.

Ujar beliau, kerajaan “miskin” PAS telah memperkenalkan Skim Ziwaaj iaitu inisiatif kewangan kepada pasangan yang baru berkahwin sebanyak RM 1000 bagi setiap pasangan di Kelantan, yang mana belum dilakukan di Negeri Sembilan.

Skim Kifaalah juga turut diperkenalkan, di mana sebanyak RM1, 500 diberikan kepada keluarga bagi setiap kematian ahli keluarga sebagau meringankan urusan menguruskan jenazah, yang mana belum dilakukan di Negeri Sembilan.

Beliau turut membuat perbandingan mudah antara “kemiskinan” Negeri Kelantan pimpinan PAS dengan kayanya Negeri Terengganu pimpinan BN/UMNO.

Walaupun Bajet Negeri Kelantan hanya lingkungan RM500 juta setahun, manakala Terengganu hampir RM 2 bilion, bermaksud 4 kali lebih besar dari Kelantan, tetapi :

1. Aliran Tunai negeri Kelantan lebih tinggi berbanding di negeri Terengganu. Untuk rekod, pasaraya Tesco di Kelantan mencatatkan jualan harian secara tunai paling tinggi iaitu lingkungan RM 1 juta sehari, menandakan tingginya aliran tunai di Kelantan.

2. Dari sudut ekonomi tempatan, jumlah pasaraya besar di Terengganu hanya 2 sahaja, iaitu Giant dan Mydin Mall. Tetapi di Kelantan yang dikatakan miskin, mempunyai 22 buah pasaraya besar antara Tesco, Pacific, Billion, AEON dan sebagainya yang mana telah membuka peluang pekerjaan kepada lebih 20000 anak muda Kelantan.

3. Dari sudut lapangan terbang, Terengganu diiktiraf sebagai sebuah Lapangan Terbang Antarabangsa, manakala Kelantan tidak dinaik taraf sedemikian. Peliknya adalah jumlah penerbangan bagi sesebuah pesawat di Terengganu hanya 6 kali sahaja sehari, berbanding di Kelantan yang turut menerima penerbangan antarabangsa sebanyak 42 kali penerbangan sehari. Ini jelas menunjukkan betapa ramainya yang datang ke Kelantan untuk pelbagai tujuan.

Dalam majlis pelancaran JPrD berkenaan, turut diadakan gimik pelancaran Jentera dengan menyerahkan Baju Petugas DUN Labu kepada YDP Kawasan Rasah, Ustaz Mohd Khairil Anuar Mohd Wafa dan bacaan ikrar petugas jentera yang diketuai oleh Naib Ketua Pemuda PAS Negeri Sembilan, Ustaz Mohd Farid Hadhari Mohd Rusdi.