Home Artikel PAS Melaka

Anak muda wira tak didendang bersama misi bantuan banjir Al Haziq Frozen

553
SHARE

Oleh: Zul Sham Mahat

MASJID TANAH, 20 Jan : Misi bantuan tanggungjawab sosial korporat (CSR) Al Haziq Frozen ke Terengganu untuk membantu mangsa banjir yang masuk hari kedua semalam turut disertai oleh anak-anak muda yang bersemangat menjadi sukarelawan.

Mereka ini kebanyakannya adalah usahawan muda pemilik-pemilik syarikat yang merupakan rakan niaga kepada Al Haziq Frozen atau kakitangan syarikat-syarikat ini yang berumur dalam lingkungan 30an dan 40an.

Muhd Atiq Nashriq Baharudin

Menurut salah seorang sukarelawan program ini, juruteknik, Muhd Atiq Nashriq Baharudin, 23 beliau menyertai misi bantuan ini atas kerelaan beliau sendiri.

“Misi bantuan yang saya sertai ini bukan atas permintaan dan desakan pihak-pihak lain tapi atas dasar keperihatinan untuk menolong umat Islam di sana yang susah bila banjir melanda kawasan mereka,” kata Atiq.

Begitu juga dengan seorang lagi sukarelawan yang juga rakan sekerja beliau, Mohd Shafie Abdullah, 22, sependapat dengan Atiq.

“Apabila Pengurus saya Encik Hasbulah pelawa saya untuk turut serta dalam misi bantuan saya terus bersetuju walaupun jauh di Pantai Timur kerana saya tahu ini saja sumbangan kudrat yang boleh saya berikan.” ujar beliau.

Mohd Shafie Abdullah

Rombongan ini meneruskan misi ke Kampung Pasir Raja dan bebarapa buah kampung sepanjang Sungai Dungun, di Dungun, Terengganu semalam.

Misi kali ini turut disertai oleh NGO ‘Dana Kita’ selain rakan-rakan niaga Al Haziq Frozen Food yang telah bersama dari awal misi iaitu Senditek Sdn Bhd, Circulate Engineering Sdn Bhd, HMZ Power Engineering Sdn Bhd, EPower Engineering Sdn Bhd, Modern Nexus Sdn BHD dan Netprovision Resources.

Misi bantuan ini berakhir di Dungun dan mereka dijadualkan untuk pulang ke Melaka pada hari Ahad ini.

Bersama-sama ini disertakan gambar-gambar menarik sekitar misi ini yang dikirimkan kepada Wartawan Rakyat Melaka (WARM).