Home Kenyataan Media PAS Melaka

Anak muda bersatu bersama PM ke-9 | Ameerah Tangga Batu

145
SHARE

SERUAN ANAK MUDA UNTUK BERSATU PADU BERSAMA KEPIMPINAN PERDANA MENTERI KE-9

AMEERAH PAS Kawasan Tangga Batu ingin merakamkan ucapan tahniah kepada YAB Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob atas pelantikan sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-9. Semoga pelantikan ini mendapat rahmat, pertolongan dan kasih sayang dari Allah SWT dalam menerajui kepimpinan negara ke arah yang lebih baik.

Ameerah PAS Tangga Batu menyambut baik pendekatan ‘KELUARGA MALAYSIA’ yang disarankan oleh YB Dato’ Sri Ismail Sabri bertujuan mewujudkan ketenangan dan keharmonian dalam negara.

Masyarakat Malaysia khususnya golongan anak muda haruslah bersama-sama menyokong dan mendukung kepimpinan YAB Dato’ Sri Ismail Sabri. Selari dengan titah KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bahawa rakyat tidak wajar dibebankan dengan kemelut politik yang tidak berkesudahan pada ketika negara bergelut menghadapi isu kesihatan dan kemurungan ekonomi akibat pandemik Covid-19.

Anak muda harus berhati-hati dalam menerima apa jua maklumat dan berita berkenaan sesuatu perkara supaya tidak mudah terpedaya dengan naratif tidak sihat serta propaganda yang dimainkan untuk menjatuhkan kerajaan. Kecekapan dan kelajuan media sosial perlu dikendalikan dengan sikap rasional dalam menilai kesahihan sesuatu maklumat bukan dengan emosi semata-mata.

Ameerah PAS Kawasan Tangga Batu menyeru semua anak muda untuk meningkatkan ilmu pengetahuan dan disiplin dalam membentuk pemikiran generasi muda masa kini serta memperkukuhkan jati diri berpandukan kepada ajaran Islam secara menyeluruh dan al-Quran sebagai panduannya.

Negara kita yang menghadapi pelbagai cabaran memerlukan anak muda yang penuh berdisiplin. Tanpa masyarakat yang berdisiplin, atau yang menghormati disiplin, pemerintahan yang berkesan dan berfaedah tidak akan wujud.

Dr Yusuf al-Qardhawi pernah menegaskan: “Apabila kita hendak melihat wajah negara pada masa hadapan, lihatlah generasi muda pada hari ini.”

Anak muda perlu mengambil iktibar daripada krisis politik yang berlaku dan perlukan satu acuan baharu untuk membentuk politik yang lebih sihat demi rakyat Malaysia.

ISLAM MEMPERKUKUHKAN PERPADUAN

ROHAYA BINTI RAMLI
Timbalan Ketua
Ameerah PAS Kawasan Tangga Batu