Home Berita PAS Melaka

Ambil semangat merdeka kukuhkan penyatuan – Ustaz Imran

53
SHARE

Oleh IBNU JANIE

MASJID TANAH, 23 Ogos: Timbalan Pesuruhjaya PAS Melaka, Ustaz Imran Abdul Rahman menyeru seluruh rakyat Malaysia agar mengambil semangat Sambutan Bulan Kemerdekaan ini untuk memperkukuhkan penyatuan.

Menurut beliau, semenjak selesainya Pilihan Raya Umum ke-14 sehinggalah sekarang negara seolah-olah ‘tidak selesai-selesai’ dengan pergolakan politik.

“Rakyat muak sebenarnya melihat orang politik terlampau berpolitik. Memanglah namanya pun orang politik, tapi nak berpolitik biarlah berpada-pada. Rakyat jadi letih lihat negara tidak stabil. Ini semua kerana sesetengah orang-orang politik yang berpolitik tak kira masa.

“Jadi untuk sekali ini saya merayu agar kita semua ‘berehat’ sekejap daripada politik. Kita raikan semangat perpaduan dan penyatuan dengan ‘Sambutan Bulan Kemerdekaan’ ini,” ujar beliau.

Beliau yang juga merupakan Yang Dipertua PAS Kawasan Masjid Tanah itu berkata demikian kepada Harakah selepas melancarkan Kempen Kibar Jalur Gemilang PAS Kawasan Masjid Tanah di kompleks PASTI Ar-Rahman, Pengkalan Balak, di sini, semalam.

Dalam program ringkas tersebut beliau telah menyerahkan Jalur Gemilang dan bendera Negeri Melaka kepada semua Pengarah-pengarah Jawatankuasa Pilihan Raya Dun (JPrD) PAS dalam kawasan ini secara pandu lalu sebagai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

“Kita ucap terima kasih kepada Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin yang menyumbangkan bendera-bendera ini.

“Kita arahkan supaya semua pimpinan dan ahli-ahli PAS dalam kawasan Masjid Tanah khasnya dapat mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera Negeri Melaka sepanjang ‘Sambutan Bulan Kemerdekaan’ pada kali ini,” tegas beliau.

Turut hadir ialah Timbalan Yang Dipertua PAS kawasan, Asri Shaik Abdul Aziz, Naib Yang Dipertua, Arshad Md Som, Ketua Pemuda, Ustaz Abu Naufal Samsudin dan Pengarah JPrD Kuala Linggi, Ustaz Azmi Sambul.