Home Kenyataan Media Dewan Muslimat PAS Malaysia

DMPM sokong Pendekatan ‘Keluarga Malaysia’

59
SHARE

Kenyataan Media Dewan Muslimat PAS Malaysia

1. Dewan Muslimat PAS Malaysia menyambut baik saranan YAB Dato’ Sri Ismail Sabri, Perdana Menteri Malaysia ke 9 untuk mewujudkan rasa persaudaraan di kalangan rakyat pelbagai kaum sebagai sebuah keluarga dengan menggunakan pendekatan ‘Keluarga Malaysia’.

2. Pendekatan yang diambil oleh YAB Perdana Menteri adalah untuk mengenepikan perbezaan yang ada tetapi menumpukan nilai persamaan yang boleh disokong bagi memastikan segala usaha dan polisi kerajaan dapat dipikul bersama-sama. Penumpuan mestilah diberikan untuk memulihkan tahap kesihatan dan kesejahteraan rakyat dengan meningkatkan peluang ekonomi yang lebih stabil. Kemaslahatan rakyat mestilah menjadi keutamaan dalam sebarang dasar dan program yang akan dirancang di bawah semua peringkat pentadbiran.

3. Justeru bagi merealisasikan usaha membina hubungan baik kerajaan dan pemimpin pembangkang, Perdana Menteri juga menawarkan keanggotaan dari parti pembangkang dalam Majlis Pemulihan Negara dan Jawatankuasa Menangani Covid -19. Tindakan ini haruslah dipuji kerana ini menunjukkan kesungguhan kerajaan untuk membina satu pasukan yang kuat dalam memastikan pemulihan negara berjalan lancar.

4. Dewan Muslimat PAS Malaysia amat berharap agar semua pihak dapat bekerjasama dalam mengembalikan kestabilan dan kesejahteraan negara. Elakkanlah gangguan yang boleh menganggu gugat pentadbiran negara kerana ia hanya akan
mengakibatkan kemusnahan yang merugikan semua pihak.

‘Islam Memperkukuh Perpaduan’
‘Islam Memimpin Wanita Sejahtera’

YB Senator Ustazah Hajah Nuridah binti Mohd Salleh.
Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia.
23 Ogos 2021 | 14hb Muharram 1443H