Minda Presiden PAS
AMANAT MUHASABAH BANGSA
Mengapa PAS menghadiri dua Himpunan Perpaduan Melayu tanpa keraguan?
Pertama: Himpunan Muafakat Nasional, anjuran PAS dan UMNO.
Kedua: Kongres Maruah Melayu, anjuran para ilmuwan beberapa universiti, disertakan ucapan YAB Tun Mahathir mewakili satu-satunya parti Melayu dalam kerajaan PH, walaupun dianggap seperti melukut di tepi gantang, tetapi ada garangnya.
Walaupun dua pertemuan itu kelihatan berlainan dan tempatnya pula bebeza, tetapi sebenarnya satu sahaja titik pertemuan iaitu perpaduan bangsa Melayu dan menyedarkan Melayu bangkit bersama Islam.
Sekurang-kurangnya PAS dapat merealisasikan konsep Taawun yang dipraktikkan dalam konsep Budaya Politik Matang dan Sejahtera yang diperkenalkan oleh PAS. Seterusnya dapat menyatukan kedua-dua himpunan tersebut.
Saya tidak berhajat mengulangi apa yang diucapkan dalam Himpunan Muafakat Nasional supaya jangan syok sendiri atau seronok kepada ucapan sendiri.
Marilah kita bersikap terbuka mendengar ucapan pihak lain yang juga Melayu Islam seperti kita.
Muhasabah diri wajib dilakukan, walaupun adanya kritikan yang keras dan pahit, kerana mungkin tidak dirasai atau tidak disedari ada lagi penyakit dalam diri bangsa Melayu yang wajib dilakukan rawatan segera, apatah lagi penyakit leka yang tidak menyedarkan.
Jadilah manusia yang berakal sihat dengan keinsafan. Biarlah orang yang berpenyakit gila sahaja marah kalau dikatakan dia sakit.
Dalam menjalani kehidupan dunia ini, Allah memberi amaran dengan firman-Nya:
﴿ إِنَّ اللَّهَ لَا يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّى يُغَيِّرُوا مَا بِأَنْفُسِهِمْ وَإِذَا أَرَادَ اللَّهُ بِقَوْمٍ سُوءًا فَلَا مَرَدَّ لَهُ وَمَا لَهُمْ مِنْ دُونِهِ مِنْ وَالٍ١١﴾ [الرعد: 11]
“Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapa pun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkan-Nya itu, dan tidak ada sesiapa pun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripadanya”. (Surah Ar-Ra’d: 11)
Petunjuk Allah ini yang sepatutnya memberi keinsafan bahawa jumlah umat Melayu Islam yang majoriti di atas bumi yang kaya kurniaan Allah ini, tidak memberi apa-apa faedah kalau sikap Melayu Islam berubah kepada cara yang salah dan negatif terhadap Islam.
Saya mendengar amanat YAB Tun Mahathir dengan teliti dan agak berbeza dengan kalangan yang menunggu kecaman beliau terhadap bangsa lain yang menjadi saingan kita dalam masyarakat majmuk.
Tiba-tiba ucapan beliau menyebut kesilapan bangsanya sendiri yang menjadi sebab mereka mundur ketinggalan, tercorot dan diperbodohkan oleh pihak lain dan diperbodohkan oleh bangsanya sendiri sehingga terkebelakang.
Maka jumlah majoriti Melayu Islam di tanah airnya sendiri yang melimpah ruah kurniaan Allah adalah tidak berfaedah bagi diri sendiri dan lebih malang kalau melupakan kurniaan Allah dan mengkufuri terhadap anugerah-Nya kepada kita di bumi bertuah ini.
Segala-galanya tidak berfaedah apabila petunjuk Allah iaitu Islam tidak diamalkan dengan sempurna. Jumlah yang ramai tetapi berpecah, cerdiknya tanpa hidayah dan tidak beramal dengan ilmu untuk diri dan umatnya.
Ada yang bijak menipu kaumnya sendiri, ramai juga yang jahil murakab (tidak sedar dirinya jahil). Maka hidup untuk makan, bukannya makan untuk hidup dan beramal soleh. Makhluk yang menjadikan tujuan hidupnya untuk makan akan dimakan oleh pihak lain.
Islam adalah petunjuk Allah kepada seluruh manusia, maka mana-mana bangsa yang menjadi penganut Islam adalah sangat beruntung di dunia dan akhirat, dengan syarat menjadikan Al-Quran itu petunjuknya dan Rasulullah S.A.W. adalah contoh teladan yang telah berjaya mengubah bangsa Arab jahiliah yang buta huruf dan buta akal sehingga menjadikannya umat paling bertamadun bersama Islam dan mampu memimpin dunia selama beberapa abad.
Tamadun Melayu di Nusantara juga paling cemerlang apabila bersama Islam. Begitu juga bangsa Turki, Kurdis dan lain-lain. Adapun kejatuhan mereka selepas itu sehingga dijajah adalah kerana meninggalkan Islam.
Ketahuilah bangsa lain yang bertamadun tanpa Islam tidak mampu bertahan lama seperti umat Islam yang tegak dan bangkit bersama Islam sehingga beberapa abad. Tamadun bangsa lain tanpa Islam, akhirnya menghancurkan bangsanya sendiri dan tidak mampu bertahan lama.
Bangsa lain yang bangkit bersama tamadun barat terkini mencapai kemajuan dengan ilmu duniawi, sebenarnya mempelajari daripada tamadun Islam, tetapi tanpa Islam. Jadilah mereka laksana berjaga dalam gelap tanpa hidayah.
Kita saksikan terkini tanda keruntuhan tamadun barat yang sedang merudum dan membakar diri sendiri dan alam sekitarnya.
Malangnya umat Islam pula tidur dalam cahaya yang terang. Tugas kita sekarang ialah menyedarkan umat Islam yang tidur supaya bangkit dan membuka mata.
Paling malang bagi bangsa Melayu yang beragama Islam ini, ada yang tidur nyenyak dan tidak sedar diri di atas bumi tanah airnya sendiri tempat mereka berpijak.
Tanah air ini adalah kurniaan Allah kepada bangsa Melayu Islam yang wajib dipertahankan bagi menegakkan agama Allah yang diamanahkan kepada mereka di atas bumi bertuah ini, supaya menjadi model dan petunjuk kepada bangsa lain yang tidak beragama Islam kerana perintah Allah:
﴿كُنْتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَلَوْ آمَنَ أَهْلُ الْكِتَابِ لَكَانَ خَيْرًا لَهُمْ مِنْهُمُ الْمُؤْمِنُونَ وَأَكْثَرُهُمُ الْفَاسِقُونَ١١٠﴾ [آل عمران: 110]
“Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). Dan kalaulah ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik).” (Surah Ali-Imran: 110)
Haram bagi umat Islam menyerah kuasa kepada bangsa lain yang bukan Islam, sehingga menjadi hina laksana menyerah rumah kepada penumpang, kemudian melarikan diri tanpa bumi tanah air tempat berpijak.
Lebih malang lagi kalau marahkan orang yang menyedarkan kita supaya bangkit daripada tidur nyenyak tanpa sedar diri.
Fahamilah apa yang tersurat dan tersirat dalam dua himpunan tersebut yang mendedahkan penyakit yang dialami oleh bangsa Melayu yang beragama Islam ini.
Jangan hanya menadah telinga dan bertepuk tangan tanpa muhasabah diri sendiri. Tanamkan dalam diri kesedaran dan keinsafan.
Tanamkan ilmu, iman, amal dan takwa menjadi jati diri bangsa yang bermaruah. Musnahkan makhluk perosak yang mengelilingi kita dan musuh yang sentiasa berusaha merosakkan kita.
Kelemahan kita ditambah pula dengan perancangan bukan Islam yang memusuhi Islam dan penganutnya, tanpa mengenang budi tamadun Islam kepada mereka, dan jasa baik umat Islam terhadap mereka.
Allah mengingatkan kita:
﴿يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَتَّخِذُوا بِطَانَةً مِنْ دُونِكُمْ لَا يَأْلُونَكُمْ خَبَالًا وَدُّوا مَا عَنِتُّمْ قَدْ بَدَتِ الْبَغْضَاءُ مِنْ أَفْوَاهِهِمْ وَمَا تُخْفِي صُدُورُهُمْ أَكْبَرُ قَدْ بَيَّنَّا لَكُمُ الْآيَاتِ إِنْ كُنْتُمْ تَعْقِلُونَ١١٨ هَا أَنْتُمْ أُولَاءِ تُحِبُّونَهُمْ وَلَا يُحِبُّونَكُمْ وَتُؤْمِنُونَ بِالْكِتَابِ كُلِّهِ وَإِذَا لَقُوكُمْ قَالُوا آمَنَّا وَإِذَا خَلَوْا عَضُّوا عَلَيْكُمُ الْأَنَامِلَ مِنَ الْغَيْظِ قُلْ مُوتُوا بِغَيْظِكُمْ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ بِذَاتِ الصُّدُورِ١١٩ إِنْ تَمْسَسْكُمْ حَسَنَةٌ تَسُؤْهُمْ وَإِنْ تُصِبْكُمْ سَيِّئَةٌ يَفْرَحُوا بِهَا وَإِنْ تَصْبِرُوا وَتَتَّقُوا لَا يَضُرُّكُمْ كَيْدُهُمْ شَيْئًا إِنَّ اللَّهَ بِمَا يَعْمَلُونَ مُحِيطٌ١٢٠﴾ [آل عمران: 118-120]
“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang yang bukan dari kalangan kamu menjadi “orang dalam” (yang dipercayai). Mereka tidak akan berhenti-henti berusaha mendatangkan bencana kepada kamu. Mereka sukakan apa yang menyusahkan kamu. Telahpun nyata (tanda) kebencian mereka pada pertuturan mulutnya, dan apa yang disembunyikan oleh hati mereka lebih besar lagi. Sesungguhnya telah Kami jelaskan kepada kamu keterangan-keterangan itu jika kamu (mahu) memahaminya. (118) Awaslah! Kamu sahajalah yang suka dan percayakan mereka, sedang mereka tidak suka kepada kamu. Kamu juga beriman kepada segala Kitab Allah (sedang mereka tidak beriman kepada Al-Quran). Dan apabila mereka bertemu dengan kamu mereka berkata: “Kami beriman”, tetapi apabila mereka berkumpul sesama sendiri, mereka menggigit hujung jari kerana geram marah (kepada kamu), Katakanlah (Wahai Muhammad): “Matilah kamu dengan kemarahan kamu itu”. Sesungguhnya Allah sentiasa mengetahui akan segala (isi hati) yang ada di dalam dada. (119) Kalau kamu beroleh kebaikan (kemakmuran dan kemenangan, maka yang demikian) menyakitkan hati mereka; Dan jika kamu ditimpa bencana, mereka bergembira dengannya. Dan kalau kamu sabar dan bertakwa, (maka) tipu daya mereka tidak akan membahayakan kamu sedikitpun. Sesungguhnya Allah meliputi pengetahuannya akan apa yang mereka lakukan) (120)”. (Surah Ali-Imran: 118-120)
Allah mengingatkan umat Islam supaya mengenali kawan dan lawan dengan cara Allah mendedahkan kalangan munafiq yang bersembunyi dan nyata bermusuh terhadap Islam dan penganutnya.
Akhirnya Allah melarang kita berpecah dan berkelahi dengan amarannya:
﴿وَأَطِيعُوا اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَلَا تَنَازَعُوا فَتَفْشَلُوا وَتَذْهَبَ رِيحُكُمْ وَاصْبِرُوا إِنَّ اللَّهَ مَعَ الصَّابِرِينَ٤٦﴾ [الأنفال: 46]
“Dan taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya, dan janganlah kamu berkelahian; (kalau terus berkelahi juga) nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, dan sabarlah (menghadapi segala cabaran dengan cekal hati); Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar).” (Surah Al-Anfal: 46)
“Islam Memimpin Perpaduan”
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 7 Safar 1441 / 7 Oktober 2019