KUALA KETIL – Bersih dan jernih. Air bukit yang datang dari Sungai Kelian menjadi sumber air buat penduduk di Kampung Tandop Pisang dekat Kuala Ketil.
ADUN Kuala Ketil, YB Mejar (B) Mansor Zakaria berkata punca paip air masyarakat yang dibiyai Jabatan Kesihatan Negeri Kedah datang dari Sungai Kelian yang tidak tercemar.
“Punca air diperolehi dari Sungai Kelian, iaitu sungai yang masih tidak tercemar, airnya jernih walaupun pada musim hujan. Sungai ini juga boleh dijadikan lokasi riadah ataupun berkelah dan mandi manda.
“Pemasangan paip sepanjang 3km ini dibuat secara bergotong royong menggunakan peruntukan sebanyak RM80,000 daripada Jabatan Kesihatan Negeri Kedah,” ujarnya.
Beliau pada Khamis bersama wakil masyarakat Kampung Tandop Pisang meninjau kerja pemasangan paip air masyarakat (BALB) yang sudah mencapai peratus siap sebanyak 90% dan bakal siap sepenuhnya pada pertengahan bulan ini.