Home Berita PAS Kedah

Ahli PAS Kedah diseru jayakan Tabung Bantuan COVID-19

242
SHARE

ALOR SETAR – Ahli-ahli PAS diseru untuk sama-sama memberi sokongan dan dukungan dengan menyumbang sedaya upaya yang mampu ke Tabung COVID-19.

Pesuruhjaya PAS Negeri Kedah, Senator Ustaz Ahmad Yahaya berkata, sumbangan tersebut akan menjadi manfaat kepada mereka yang memerlukan dalam situasi kini.

“Juga akan menjadi kebajikan yang berterusan dalam hidup kita sampai akhirat dan insyaAllah infaq kita dapat menyelamatkan kita daripada musibah yang mendatang.

“Di samping bantuan peruntukan yang diberi kerajaan negeri dan Pusat, mudah-mudahan ia meringankan beban saudara kita,” ujarnya di Kompleks PAS Kedah, di sini semalam.

Beliau melancarkan Tabung Bencana COVID-19 PAS Kedah susulan pelancaran sama Peringkat PAS Pusat oleh Timbalan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, kelmarin.

Pelancaran tersebut adalah bersempena Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 atau ‘total lockdown’ seluruh negara yang berkuatkuasa bermula 1 hingga 14 Jun ini.

Beliau mengajak para penyumbang agar sama-sama membantu menjayakan usaha digerakkan tersebut dengan semua peringkat parti di negeri ini mengadakan kutipan.

“Saya memohon kepada seluruh Dewan-dewan di peringkat negeri, Dewan Ulamak, Pemuda, Muslimat Dewan Himpunan Penyokong agar sama-sama menggerakkan usaha dan ikhtiar.

“Bersama dengan PAS di peringkat Kawasan dan Cawangan untuk membuat kutipan sebanyak yang mungkin bagi membantu saudara-saudara kita yang putus bekalan dan sumber pendapatan dalam suasana Lockdown 3.0 ini.

“Alhamdulillah, sumbangan sudah dimulakan oleh YAB Menteri Besar Kedah sebanyak RM20,000 diikuti oleh ADUN-ADUN kita PAS negeri Kedah masing-masing akan menyumbang 20 peratus daripada elaun bulan ini.

“Semua sumbangan itu dimasukkan ke Tabung Majlis Tindakan Bencana Alam Badan Perhubungan PAS Negeri dan Insya-Allah sumbangan ini akan disalurkan ke akaun Khidmat Malaysia peringkat Pusat.

“InsyaAllah akan diagih dan disampaikan kepada yang memerlukan dari kalangan rakyat Malaysia,” ujar beliau.