Home Berita PAS Kelantan

Agenda penyatuan ummah perlu berterusan

42
SHARE

PUTRAJAYA, 2 Ogos: Agenda penyatuan ummah penting bagi pejuang agama Allah kerana hal tersebut adalah asas yang disebut dalam Al-Quran dan gerak kerja Rasulullah SAW, antaranya mempersaudarakan kaum Ansar dan kaum Muhajirin.

Berucap semasa menjadi panel program Bicara Agamawan “Penyatuan Ummah – Cabaran Masa Kini” Exco Kerajaan Negeri Kelantan, YB Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata,
umat Islam hari ini menghadapi dua cabaran iaitu cabaran dalaman dan cabaran luaran.

Katanya, antara cabaran luaran yang besar ialah perpecahan sesama kita sehingga musuh-musuh Islam mengambil peluang meniupkan api perpecahan untuk melemahkan kita.

“Cabaran dalaman seperti hubbu dunia, cinta harta dan pangkat akhirnya benci kepada kematian akan melemahkan kita para asatizah dan para du’at. Kita perlu singkir cabaran ini dan jangan keterlaluan taasub kepada sesuatu perkara. Contohnya mengkafirkan dan membid’ahkan mereka yang tidak sepandangan dengan kita,” ujarnya.

Menurut beliau lagi, berdasarkan dalil Al-Quran, terdapat dua rukun penyatuan ummah yang turut menjadi wasiat perjuangan nabi-nabi terdahulu iaitu, tegakkan agama dan mengelakkan perpecahan sesama umat.

“Solusinya, sekiranya berlaku pertembungan sesama pendakwah, maka kembalilah kepada asas agama iaitu al-Quran dan As-Sunnah,” tegasnya.

Hadir sama sebagai panel ialah Mufti Wilayah Persekutuan, Sahibul Samahah Datuk Dr Luqman. Manakala Dr Mohd Huzairi Husain pula sebagai moderator.

Program anjuran Kerajaan Negeri Kelantan melalui Urus Setia Penerangan Dan Komunikasi (UPKN) dengan Kerjasama PERAKAN Malaysia dan YADIM itu berlangsung di Auditorium JAKIM, Kompleks Islam Putrajaya, Ahad lepas.