Home Artikel PAS Melaka

Adanya PAS hari ini daripada pengorbanan orang-orang kampung

320
SHARE

Oleh SITI HAJAR

HANG TUAH JAYA, 19 Mac : “Kita lihat bahawa PAS yang ada pada hari ini, walaupun kita panggil bukan berada di puncak, tapi kita lihat bahawa keberadaan PAS hari ini di tempat yang agak lebih baik, adalah daripada pengorbanan orang-orang kampung.

“Merekalah kita panggil golongan awal yang mendukung gerakan ini yang mendukung perjuangan ini dengan menginfakkan duit.”

Demikian ungkapan Ketua Penerangan PAS Melaka, Bakri Jamaluddin semasa menjadi panelis dalam sebuah diskusi Melaka Update anjuran Jabatan Penerangan PAS Negeri Melaka, malam tadi.

Menurut Bakri, dari satu perspektif, PAS sememangnya lahir daripada kampung iaitu di Gunung Semanggol, Perak, dan orang-orang kampung itulah golongan yang telus dan bersungguh-sungguh mahu memartabatkan agama Islam.

“Kita lihat pengalaman saya tinggal di Baling, saya juga pernah tinggal di Larut di kawasan hulu-hulu, saya lihat masyarakatnya walaupun mereka tidak punya pendapatan yang tinggi, tapi kesedaran mereka terhadap agama sangat tinggi.

“Dan waktu saya dibesarkan dulu juga di Tangga Batu pun begitu. Kami kecil-kecil sering ke masjid ke musolla di sini tempat kita berkumpul.

“Dan masyarakat kampung walaupun mereka kita panggil tidak mempunyai pendapatan yang tinggi tapi bila mereka dipanggil untuk membantu agama, mereka adalah orang yang akan ke depan,” jelas beliau kepada moderator yang dikendalikan oleh Editor Harakah, Ibnu Janie.

Di samping itu, beliau turut menyifatkan naratif yang mengatakan bahawa PAS ialah parti kampung dengan bermaksud PAS ini jumud, ketinggalan atau serba kekurangan adalah suatu naratif yang salah.

“Kita lihat walaupun PAS itu ditubuhkan di Gunung Semanggol tetapi siapakah Dr. Burhanuddin Helmy yang pernah menjadi Presiden PAS, kemudian Dr. Abbas Alias. Dr. Abbas ini merupakan ‘medical doctor’ yang bekerja di Hospital Besar Kuala Lumpur.

“Mereka inilah orang-orang profesional, pendidik dan juga ‘medical doctor’ yang menerajui PAS di awal penubuhan PAS pada tahun 50-an dulu,” terang beliau lagi.

Beliau turut menambah, ramai dalam kalangan ahli-ahli profesional yang membantu perjuangan PAS di sebalik tabir dan ada dalam kalangan mereka yang memegang jawatan besar dalam PAS seperti Menteri Besar Terengganu, Dr. Samsuri Mokhtar yang juga merupakan seorang pakar aeronautikal atau pakar penerbangan.

Menurut Bakri, transformasi PAS dalam ‘memprofesionalkan ulama dan mengulamakan profesional’ telah diterajui oleh Almarhum Tuan Guru Ustaz Fadzil Noor yang memimpin perubahan PAS daripada kepimpinan sebelumnya bagi mengangkat martabat perjuangan PAS.