Home Artikel PAS Melaka

PAS dekat dengan masyarakat walau bukan di posisi ‘policy maker’ – Bakri Jamaluddin

241
SHARE

Oleh SITI HAJAR

HANG TUAH JAYA, 19 Mac : Ketua Penerangan PAS Negeri Melaka, Bakri Jamaluddin, menyatakan walaupun PAS bukan berada pada kedudukan ‘policy maker‘ dalam membuat keputusan di peringkat kerajaan Melaka, parti ini sebenarnya berada ‘di hujung tombak’, yakni dekat dengan masyarakat.

Bakri yang juga merupakan Yang Dipertua (YDP) PAS Kawasan Tangga Batu berkata, beliau berminat menjadi ahli PAS kerana parti ini membawa agenda dakwah dan hal ini menyebabkan ia begitu sinonim dengan masyarakat kerana mencapai agenda dakwah melalui masjid yang menjadi tumpuan kemasyarakatan.

“Kami di (Kawasan) Tangga Batu, apabila kami diberi kesempatan untuk menjadi pengerusi di beberapa buah masjid; di Dun Pantai Kundur kita ada satu; Dun Sungai Udang kita ada satu; kemudian di Dun Paya Rumput kita ada satu dan di Dun Klebang kita ada timbalan pengerusi.

“Apa yang kita rancang ialah kegiatan ilmu dan dakwah harus disemarakkan. Kerana saya yakin bahawa masyarakat ini kalau mereka diberi ilmu dan kefahaman yang betul tentang Islam, mereka akan gigit Islam itu dengan gigi geraham,” ujar beliau dengan nada yang bersemangat.

Beliau berpandangan bahawa negeri Terengganu dan Kelantan khususnya, telah pun berjaya ‘mengigit’ kemenangan yang Allah berikan dengan ilmu.

Tambah Bakri lagi, perkara itu membuatkan beliau ingin menjadikan budaya menuntut ilmu sebagai ‘makanan harian’ masyarakat di negeri Melaka.

“Dan saya teringat 2001 kalau tak salah saya, ketika kita mengadakan ceramah umum di Hotel Emperor, saya menjadi pengerusi ketika itu, ada orang bertanya kepada Almarhum Tuan Guru Nik Aziz, ‘kenapa orang ni orang PAS tapi dia bermain nombor ekor, dia tak sembahyang?’

“Jadi apa yang Almarhum Tok Guru jawab? Salahnya kita sebab kita ajak dia pada PAS tapi kita tak ajak dia kepada Islam. Maka, kita akan buat benda yang sama. Ajak manusia kepada ilmu melalui kuliah-kuliah pengajian, sebarluaskan dakwah.

“Jadikan menuntut ilmu sebagai makanan. Barulah bila masyarakat itu dia berilmu, Insya-Allah dia akan boleh pilih yang mana baik yang mana salah,” ulas Bakri.

Tambah beliau, usaha kebajikan untuk masyarakat setempat giat dijalankan menerusi program-program di peringkat kepimpinan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), peringkat JAPERUN serta medium PAS sendiri.