Home Berita PAS Kedah

Ad-din nikmat Allah paling agung

18
SHARE

OLEH: ROZAIDI TAIB

LANGGAR, 19 Okt – Ad-din iaitu panduan Islam merupakan nikmat yang paling agung dikurniakan oleh Allah kepada umat Islam dimana sekiranya dihayati, isu perpaduan sesama ummah tidak akan berlaku seperti mana suasana politik yang kacau bilau mutakhir ini.

Ia dinyatakan oleh ahli panel Forum Ehwal Islam yang bertajuk”Penyatuan dan Kesejahteraan Ummah”, YB Brigadier Jeneral (B) Dato’ Najmi Hj Ahmad, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah.

Program dipengerusikan oleh Adun Sungai Limau, YB Ustaz Mohd Azam Abd Samat adalah anjuran pejabat Exco Penerangan, Komunikasi dan Multimedia, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna negeri Kedah diadakan sempena sambutan Maulidur Rasul S.A.W di perkarangan Masjid Nurul Ihsan, di sini, hari ini.

Ahli panel kedua, Dr Ustaz Ahmad Fakhruddin Sheikh Fakrurazi menjelaskan punca terjadi perpecahan di kalangan umat terdahulu ialah mereka tidak mencari titik persamaan tetapi memperbesarkan isu remeh dan perbezaan yang sememangnya ada sesuai dengan penciptaan manusia oleh Allah dengan pelbagai bangsa dan bahasa pertuturan.

Beliau yang juga Pengerusi Yayasan Islam Negeri Kedah menegaskan penyatuan dan perpaduan ummah amat penting sebagai jaminan politik dan berkait dengan ekonomi dimana para pelabur akan lebih yakin dengan kedudukan kerajaan yang stabil.

Turut diselitkan sempena program ini ialah Pelancaran Bulan Dakwah peringkat negeri Kedah anjuran Yayasan Dakwah Islam Malaysia(YADIM) disempurnakan oleh YB Haji Wan Romani Wan Salim, Exco Kerajaan Negeri Kedah.

Turut hadir,Ustaz Mohd Aizat Zakaria, Pengarah Yadim Kedah, YB Ustaz Salim Mahmood, Adun Bukit Lada, Sheikh Rodi Abdul Rahman, Timbalan Pengerusi Yayasan Islam Kedah, Pegawai kerajaan Pusat dan Negeri, Penghulu mukim dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung daerah Pokok Sena.