Home Berita PAS Melaka

Covid-19 Melaka | 4 kes kematian di Melaka Tengah

106
SHARE

Oleh IBNU JANIE

AYER KEROH, 19 Okt: Empat kes kematian baharu direkodkan hari ini dengan keempat-empatnya dikesan di Melaka Tengah, seperti dilaporkan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Melaka dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi jabatan itu sebentar tadi.

Menurut JKN Melaka, daripada empat kes kematian baharu itu, tiga daripadanya adalah lelaki berumur 72, 74 dan 88 tahun sementara seorang lagi mangsa adalah wanita berumur 68 tahun.

Laporan kes positif baharu

Tambah JKN Melaka lagi, sebanyak 168 kes positif baharu direkodkan hari ini dengan 157 daripadanya adalah daripada kategori kes tempatan, tujuh kes kategori banduan/OKT/PATI dan masing-masing satu kes daripada kategori import A dan kes import B.

Menurut laporan itu lagi, daripada keseluruhan kes baharu itu juga, 102 kes dikesan di Daerah Melaka Tengah, 30 kes di Daerah Jasin dan 36 kes lagi dikesan di Daerah Alor Gajah.

Sebanyak 166 kes sembuh direkodkan hari ini menjadikan sebanyak 2980 kes masih dirawat, berkurang berbanding 2982 kes semalam dengan 12 kes adalah daripada kes ICU dan tiga kes lagi daripada kategori bantuan alat pernafasan.

Laporan kluster

Tiada kluster baharu direkodkan hari ini manakala sebanyak 26 kluster dilaporkan masih aktif sementara tiga kluster pula diisytiharkan tamat hari ini iaitu Kluster Industri Teknologi Cheng 30, Kluster Tapak Bina Batu Berendam dan Kluster Tembok Jasin.

Laporan seluruh negara

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pula melaporkan sebanyak 5745 kes baharu direkodkan hari ini meningkat berbanding 5434 kes semalam menjadikan jumlah keseluruhan kes ialah sebanyak 2,401,866 kes.

Selangor menjadi negeri yang mencatatkan kes tertinggi antara negeri iaitu sebanyak 888 kes, diikuti oleh Sarawak (749), Sabah (695), Johor (649), Kelantan (597) dan Pulau Pinang (393).

Kedah pula merekodkan 352 kes, Perak (341), Terengganu (281), Kuala Lumpur (259), Pahang (223), Negeri Sembilan (114), Putrajaya (29), Perlis (5), sementara Labuan pula hanya merekodkan dua kes.