RAKYAT Kelantan yang mahu mengamalkan gaya hidup sihat dan amalan sunnah berpeluang menghadiri Karnival Toyyiba 2017 yang akan diadakan di perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV.
Program itu diadakan 26 hingga 28 Oktober ini dianjurkan Majlis Perbandaran Kota Bharu- Bandar Raya Islam (MPKB-BRI).
Yang Dipertua MPKB BRI, Datuk Zamri Ismail berkata, karnival berkenaan merupakan tahun ketiga diadakan, dijangka dihadiri seramai 10,000 pengunjung.
Katanya karnival tersebut membabitkan seminar penjagaan kesihatan dan forum rawatan Islam. Dan hari kedua dianjurkan Hari Darussyifa’ Malaysia.
Selain itu rawatan Islam dan simulasi rawatan seperti sihir, saka, susuk serta kanser dikendalikan Pusat Rawatan Islam Darussyifa’.
“Karnival itu akan menempatkan sebanyak 60 gerai pameran dan jualan usahawan-usahawan Kelantan dan selatan Thailand,” katanya pada sidang media di Kota Bharu hari ini.
Program itu akan dirasmikan Menteri Besar, Datuk Bentara Kanan Ahmad Yakob pada 26 Oktober. – HARAKAHDAILY 17/10/2017