Home Berita PAS Selangor

Tips Berjaya SPM Oleh YB Shafie Ngah

1438
SHARE

Oleh : Wan Noor Aziezan Baharuddin
BANGI, 22 Okt 2017 – “Untuk berjaya, para pelajar perlu mengamalkan beberapa perkara, pertama adalah pelajar perlu mempunyai kemahuan untuk berubah”. 

Ujar YDP PAS Kawasan Serdang merangkap ADUN Bangi YB Ust Shafie Ngah dalam merasmikan Bengkel Pecutan Akhir SPM 2017 bagi para pelajar Pusat Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) yang diadakan di Kolej Universiti Islam Selangor, KUIS pagi tadi.

“Kita perlu mengubah hidup kita, cara berfikir dan persekitaran kita agar hidup kita menjadi lebih baik. Ingat kesusahan ibu bapa kita hari ini dan berazamlah untuk mengubah kehidupan tersebut” tambah beliau.

Dalam pada masa yang sama, ADUN Bangi ini turut mengatakan bahawa perubahan yang ingin dilakukan oleh pelajar haruslah hadir dari diri mereka sendiri dan bukan paksaan daripada sesiapa.

“Untuk berjaya, kita perlu berubah atas kehendak sendiri. Contoh yang boleh  kita ambil adalah kejayaan tokoh-tokoh besar seperti Lee Chong Wei. Kejayaan beliau bukanlah datang bergolek, tetapi ia datang dengan usaha dan latih tubi juga sikap ingin berjaya yang ditanam saban hari”

Selain itu, beliau turut memberi tips kedua iaitu pelajar perlu mempunyai kemahuan untuk dilatih, diasuh dan dididik untuk berjaya.

“Kalau kemahuan untuk dididik, dilatih tubi dan diasuh telah ditutup, sampai tua pun, kita tidak akan mampu untuk memperoleh kejayaan.
Jadi, bukalah hati untuk dididik oleh mereka yang mahir dalam bidang pendidikan agar para pelajar dapat merasa kemanisan kejayaan pada masa akan datang”
Beliau turut mengingatkan pelajar bahawa, tugas guru dan PTRS hanyalah sebagai pembimbing sahaja, usaha dan kemahuan untuk berubah dan berjaya merupakan jalan bagi memperoleh kejayaan.
Bengkel hari ini melibatkan para peserta daripada PTRS DUN Bangi, DUN Dusun Tua, DUN Kajang, DUN Teratai dan DUN Semenyih.