Kenyataan Media Penerangan. 130/2
11 May 2017 : 14 Syaaban 1438
RUU355 : PAS TERBUKA TERHADAP KRITIKAN & CADANGAN, SEDIA BERI PENERANGAN
Oleh : Nasrudin bin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat
Merujuk kepada satu laporan mengenai komentar oleh Datuk Ismail Yahya terhadap RUU355 yang dibentangkan oleh YB. Dato’ Seri Tuan Guru Hj. Abdul Hadi Awang di Parlimen, suka untuk saya tegaskan seperti berikut :
1. Tujuan PAS membentangkan RUU355 adalah untuk memartabatkan institusi Mahkamah Syariah di negara ini bagi membolehkannya menjatuhkan hukuman selari dengan syariat Islam yang sebenar.
2. Usaha yang dibuat oleh PAS ini adalah bertepatan dengan peruntukan perlembagaan sedia ada dan bersesuaian dengan sistem demokrasi berparlimen yang diamalkan di negara ini.
3. Sokongan oleh para ulamak, cendekiawan Islam dan orang awam serta oleh banyak NGO dan pelbagai badan penguatkuasa terhadap RUU355 yang diusulkan oleh PAS ini memperlihatkan kepentingan dan kewajarannya justeru ia tidak harus diremeh atau diperlecehkan.
Sepatutnya, Datuk Ismail Yahya dan lainnya bersama-sama membantu usaha murni ini atau sekurang-kurangnya tidak mengelirukan masyarakat dengan andaian dan persepsi yang dibuat akibat kejahilan diri sendiri tentang RUU355 ini.
Sedangkan, YB Marang dan YB Kota Bharu telah pun secara panjang lebar dan menurut pelbagai perspektif menjelaskan sebab dan alasan PAS mencadangkan pindaan terhadap Akta 355 itu.
Pun begitu, PAS tetap terbuka dengan sebarang kritikan dan cadangan oleh mana-mana pihak. Sekiranya Datuk Ismail Yahya merasakan kaedah yang dicadangkan itu lebih munasabah dan berkesan, PAS mengalu-alukan dan menggesa tokoh ini segera memulakan inisiatif bagi melaksanakan cadangan itu. PAS juga terbuka menerima undangan serta kunjungan pelbagai pihak bagi menjelaskan lagi berkenaan RUU355 ini.
Sekian.
“Sejahtera Bersama Islam”
{jathumbnail off}