Home Berita PAS Pahang

SELAMAT HARI JURURAWAT!

974
SHARE

Kenyataan Rasmi

Dewan Pemuda PAS Pahang

 

SELAMAT HARI JURURAWAT!

 

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud : “Dan barang siapa yang memelihara kehidupan seorang manusia, maka seolah-olah dia telah memelihara kehidupan manusia semuanya.” (Al Maidah: 32).

 

Tanggal 12 Mei setiap tahun, merupakan detik terpenting bagi meraikan petugas kesihatan yang mendominasi sebahagian besar alam klinikal. Mereka ini diumpamakan sebagai lilin yang membakar diri, menerangi dan menjaga pesakit supaya sembuh seperti sedia kala dengan izin Allah. Biar pun masa terhad bersama keluarga tersayang, setiap hari mendengar celoteh pesakit dan bebanan rutin kerja yang memeningkan, mereka tetap ikhlas dan sabar dalam memberikan perawatan yang terbaik. Merekalah Jururawat!

 

Dewan Pemuda PAS Negeri Pahang (DPPN Pahang) mengucapkan Selamat Hari Jururawat kepada seluruh jururawat yang bertugas samada di Kementerian Kesihatan Malaysia, di sektor swasta, baik di klinikal mahupun di sektor pentadbiran.

 

Di dalam sejarah awal Islam, sosok seorang srikandi yang bernama Rufaidah binti Sa’ad dinobatkan sebagai jururawat Islam yang pertama. Beliau dibesarkan dari kaum Khazraj dan merupakan antara orang terawal yang memeluk Islam ketika di Madinah.

 

Sumbangan beliau dalam dunia kejururawatan tidak kecil nilainya. Selain daripada merawat tentera Islam di medan perang seperti perang Badar, Uhud, Khandaq, Khaibar dan lain-lain, Rufaidah mengepalai pasukannya menjadi jururawat yang berdedikasi dan juga turun ke dalam komuniti untuk menyelesaikan masalah sosial yang memberikan kesan kepada kesihatan komuniti.

 

Berdasarkan statistik yang dipaparkan oleh Penyelidikan Kesihatan Manusia (Health Human Research) pada 31 Disember 2015, nisbah jururawat pada 2015 adalah: 1 orang jururawat, 305 penduduk Malaysia (1:305). Kementerian Kesihatan (KKM) berhasrat menurunkan lagi nisbah ini kepada 1:198, lebih baik daripada 1:200 yang disyorkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

 

DPPN Pahang melihat inisiatif KKM ini sangat tepat pada masanya untuk menyediakan perkhidmatan kesihatan yang lebih baik pada masa akan datang. Seterusnya, menyediakan ruang yang lebih baik kepada jururawat menjaga pesakit dan memberikan perawatan yang menepati piawaian yang ditetapkan.

 

Dewasa ini, jururawat tidak lagi dilihat sebagai petugas kesihatan dalam alam klinikal semata-mata walaupun populasi jururawat di Malaysia adalah sebanyak 99,925 orang, melewati populasi petugas kesihatan yang lain seperti doktor perubatan, farmasi dan lain-lain.

 

Sebahagian besar daripada mereka turut menjadi tenaga pengajar, pensyarah, pembuat polisi, eksekutif dan lain-lain. Ini sudah cukup membuktikan jururawat memberikan sumbangan yang besar dalam kemajuan kesihatan di negara kita.

 

Sewajarnya, kerajaan mengambil inisiatif untuk memberikan insentif kepada jururawat seperti menyediakan kenaikan pangkat secara ‘time-based’, kenaikan pangkat secara automatik ke U41/U42 kepada jururawat yang mempunyai ijazah, dan lain-lain sebagai tanda terima kasih atas sumbangan mereka dalam dunia kesihatan.

 

“Sejahtera Bersama Islam”

“Mara Menuju Cita”

 

USTAZ HAZMI DIBOK   

Ketua Dewan Pemuda PAS Pahang

 

14 Syaaban 1438H / 11 Mei 2017

Kenyataan Rasmi

Dewan Pemuda PAS Pahang