GENERASI ketujuh kaum bukan Islam di Semerak pada hari ini perlu mengekalkan hubungan baik dengan masyarakat Islam yang dibina nenek moyang mereka.
Penyelia Dun Semerak, Wan Hassan Wan Ibrahim berkata, berbeza anutan agama tidak menjadi halangan kaum Melayu, Cina dan Siam berkongsi kehidupan.
Menurutnya, kawannya dari kaum Cina sanggup berpuasa kerana menghormati kawan-kawan Melayu yang menjalani ibadah tersebut.
“Kita berkawan dengan orang Cina sama macam berkawan dengan Melayu, bermain bersama, kadang dari pagi ke petang, tidak ada masa untuk dia makan di depan kita dan dia pun menghormati kita sehingga sanggup sama berlapar.
“Sekalipun mereka tak puasa, mereka tak mungkin makan di depan kita orang Islam, sampai sekarang pun rasa hormat itu masih ada,” katanya.
Katanya, tradisi ini akan lenyap sekiranya generasi hari ini memandang remeh perhubungan baik antara kaum.
“Saya mengadakan majlis hari raya setiap tahun di pekarangan pejabat saya dan kaum Siam dan Cina dari pelbagai lapisan usia mesti hadir memeriahkannya, ini petanda baik sebenarnya untuk kita mengukuhkan semula perhubungan,” katanya.- SINAR HARIAN 13 JUN 2017