Home Berita PAS Kelantan

Kemajuan Projek Taman Industri IBS capai 4.43 peratus

228
SHARE

MACHANG, 1 Feb: Kerja-Kerja infrastruktur pembangunan Taman Perindustrian Sistem Binaan Berindustri (IBS) di Sungai Bagan, kini mencapai kemajuan 4.43 peratus.

Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan, Pelaburan dan Pembangunan Usahawan Negeri Kelantan YB Dato’ Hanifa Ahmad berkata, Kelantan negeri pertama mewujudkan Taman Perindustrian IBS di Malaysia seluas 200 ekar (80.94 hektar) dengan peruntukan RM90.3 juta bagi penyediaan infrastruktur dan RM30 juta kos pengambilan balik tanah.

“Kerajaan Negeri Kelantan dengan usahasama CIDB Malaysia melalui perjanjian persefahaman yang ditandatangani pada Oktober 2021 komited membangunkan negeri dengan menarik pelabur tempatan dan luar melalui Pembangunan Projek Taman Industri IBS dan yang pertama di Malaysia. Kerajaan Negeri sedaya upaya memberi komitmen terbaik bagi mempercepatkan proses pembinaannya. Sebaik sahaja menerima kelulusan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) daripada Jabatan Alam Sekitar, kerja-kerja pembinaan projek ini segera dilaksanakan mengikut jadual sehingga siap pada suku ketiga tahun 2024,” katanya ketika ditemui di tapak projek di Labok, hari ini.

Menurutnya, antara komponen binaan tersebut merangkumi 47 lot industri seluas 120 ekar, 60 lot komersial bersaiz 1.09 ekar, Pusat Penyelidikan Politeknik Malaysia seluas 4.1 ekar.

Manakala 2.24 ekar pula disediakan untuk pembinaan dataran IBS dan 4.1 ekar untuk kompleks pameran serta 7.4 ekar dibina Pusat Latihan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) termasuk pejabat pentadbiran CIDB Kelantan, CIDB IBS Sdn Bhd dan pusat pensijilan produk CIDB yang akan beroperasi dari situ.

Oleh itu, beliau menyeru para pelabur berperanan sebagai pemain industri yang aktif mengusahakan produk pembinaan bangunan berkonsep pasang siap yang cepat dengan harga yang kompetetif, khasnya berkaitan IBS dan teknologi baharu muncul (emerging technologies), memperkukuhkan jaringan ekosistem IBS di Malaysia melalui satu pusat sehenti di Kelantan,” jelasnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif CIDB IBS Sdn Bhd Ir Ts Zuraihi Abdul Ghani memaklumkan pemain utama di Taman IBS Kelantan adalah pengilang IBS sedia ada di Kelantan, terdiri daripada ahli Persatuan Kontraktor Perumahan Kelantan (PKPK).

“PKPK menubuhkan konsortium East Coast IBS Sdn Bhd (ECIBS) bagi mengurus Taman Industri IBS melibatkan wakil kerajaan dan swasta. Kita saling menggembleng kepakaran masing-masing bagi memastikan kejayaan projek ini dapat direalisasikan, mengikut jadual dan mencapai matlamat,” jelasnya.

Tambahnya, pemain industri yakin industri IBS mampu memberi saingan yang kompetitif dalam sektor pembinaan kontemporari kerana berpotensi meningkatkan prestasi menyeluruh dalam industri pembinaan dari segi jaminan kualiti, mengurangkan kos dan dapat menjimatkan lebih 50 peratus keperluan tenaga kerja berbanding kaedah manual selain mempercepatkan tempoh siap sesuatu projek.

“Kita yakin Taman IBS Kelantan akan muncul sebagai pusat rujukan setempat kepada pengilang tempatan dan dari negeri lain untuk mempertingkat kapasiti serta keupayaan industri pembinaan selari dengan Dasar Pembinaan Negara 2030. CIDB IBS amat berterima kasih atas kerjasama Kerajaan Negeri Kelantan melalui agensinya Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) dan berharap, wujudnya Taman IBS ini dapat merancakkan pertumbuhan ekonomi di Kelantan,” katanya.