Home Berita PAS Kedah

Takziah kepada warga Turkiye dan Syria, ayuh menyumbang tanda kebersamaan!

133
SHARE

oleh: NOR FATIN

ALOR SETAR, 8 FEB – PAS Kedah merakamkan ucapan takziah kepada warga Turkiye dan Syria yang dilanda gempa bumi sekaligus meragut banyak nyawa.

Sudah tentu hati dan jiwa kita bersama kesakitan yang mereka alami. Pasti ada sesuatu yang ingin kita lakukan untuk membantu mereka di sana dan menyatakan kebersamaan kita kepada mereka.

Atas keprihatinan daripada PAS Kedah, satu pelancaran Tabung Bencana Gempa Bumi Turkiye dan Syria telah dilancarkan hari ini pada jam 1.45 petang. Pelancaran ini diadakan secara siaran langsung di Facebook Perhubungan PAS Kedah oleh Pesuruhjaya PAS Kedah, YB Ustaz Ahmad Yahaya.

Beliau menyeru kepada semua agar sumbangan ini dipanjangkan kepada kawasan masing-masing dan di mana-mana sahaja yang berpontensi untuk mendapatkan sumbangan.

“Saya seru kepada semua untuk mengambil tanggungjawab ini dan insyaaAllah PAS Kawasan akan membuat penyerahan pada 18 Februari ini dan akan diserahkan kepada PASRelief untuk disampaikan kepada saudara kita yang ditimpa dengan musibah di Turkiye dan Syria.” Katanya.

Tujuan pelancaran ini diadakan adalah untuk membuka peluang kepada semua yang ingin menyumbang kepada mangsa bencana melalui wang ringgit.

Seperti yang terpapar dalam poster, gempa bumi besar yang berukuran 7.8 magnitud tersebut telah melanda Turkiye dan Syria telah meragut nyawa kira-kira 7,800 mangsa.

Kesan daripada perkara tersebut, darurat telah diumumkan di Turki oleh Presidennya, Recep Tayyip Edrogan. Darurat tersebut akan berlangsung selama 3 bulan di 10 wilayah.

Lebih 70 negara telah menawarkan pasukan penyelamat dan beberapa bantuan lain. Ayuhlah kita semua warga Kedah khususnya dan rakyat Malaysia amnya untuk mengambil peluang ini untuk memberi sumbangan kepada mereka.

Bagi yang berminat untuk menyumbang, sumbangan boleh dilakukan kepada akaun 5521 7000 1133 (Maybank) atas nama Majlis Tindakan Bencana Alam BPPNK.

Di akhir pelancaran, Ahmad meminta agar kita juga turut mendoakan mereka, di samping memberi sumbangan melalaui wang ringgit.

“Kita juga dimaklumkan, mereka di sana berada dalam keadaan yang sejuk, salji turun, bangunan runtuh dan rumah mereka rosak, tidak ada tempat tinggal, jadi di samping sumbangan dalam wang ringgit, marilah kita doakan mereka agar diberikan kekuatan dan ketabahan untuk menghadapi ujian ini” katanya.