Home Berita PAS Kedah

Sanusi Rasmi Pelancaran Yayasan Kedah Sejahtera

186
SHARE

Oleh QONI NAKA

KOTA SARANG SEMUT, 7 FEB – Menteri Besar Kedah, YAB Dato’ Seri Haji Muhammad Sanusi Md Nor merasmikan pelancaran penubuhan Yayasan Kedah Sejahtera yang bertempat di Hotel The Jerai, Alor Setar semalam.

Penubuhan Yayasan itu bukan sekadar seiring malah menjadi pendokong yang paling kuat untuk memberi nilai dan makna dalam usaha kerajaan mencapai matlamat slogan ‘Kedah, Tempat Orang Miskin Berteduh, Tempat Orang Kaya Berbakti’.

Dalam ucapan Muhammad Sanusi, beliau menyatakan tinggi harapan beliau kepada penubuhan ini untu menjadi tulang belakang kepada Kerajaan Negeri.

“Tentunya harapan saya sangat tinggi untuk melihat Yayasan Kedah Sejahtera dapat menjadi tulang belakang kepada Kerajaan Negeri demi merealisasikan Kedah, Tempat Orang Miskin Berteduh, Tempat Orang Kaya Berbakti”

“Yayasan Kedah Sejahtera diharapkan bersama dengan kerajaan negeri menyebarkan mesej ‘Sejahtera’ ke semua peringkat masyarakat agar semua dapat memahami aspirasi dan komitmen kerajaan.” katanya.

Muhammad Sanusi turut menjelaskan ‘Sejahtera’ sama erti dengan ‘salaam’ yang menjadi kata asas bagi Islam.

Slogan Kedah Sejahtera katanya adalah kesinambungan legasi yang ditinggalkan oleh Mantan Menteri Besar Kedah, Almarhum Tan Sri Ustaz Azizan Abd Razak.

“Ia adalah suatu legasi yang singkat tapi penuh dengan makna.

“Saya sangat merasai ketekunan, keberanian dan jiwa besar Almarhum dalam memajukan negeri ini. Semoga slogan ini terus sebati dengan negeri Kedah,” kata Sanusi.

Majlis tersebut turut dihadiri Pengasas Pesuruhjaya PAS Kedah YB Dato’ Ustaz Ahmad Yahaya, wakil Dewan Muslimat Negeri Kedah, wakil Dewan Pemuda Negeri Kedah, GLC dan Yayasan yang lain.