Home Berita PAS Kelantan

3 komponen utama Projek Solar Terapung, siap 100 peratus

775
SHARE

KOTA BHARU, 8 Jan: Exco Teknologi Hijau Negeri Kelantan YB Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail memaklumkan sehingga 1 Januari 2023, tiga komponen utama Projek Solar Terapung di Danau To’ Uban melibatkan pemasangan panel solar dan pemasangan kabel penyambung dari Kampung Chandan ke Bukit Kecil sejauh 10 kilometer (km) telah siap 100 peratus.

Katanya, kerja-kerja pemasangan Switchgear yang berfungsi sebagai sistem untuk mengawal dan melindungi fasiliti elektrik juga siap semuanya. Komponen itu menyediakan pengasingan elektrik kepada litar dan bahagian sistem yang ditenagakan.

“Fasiliti elektrik dilengkapi lapan unit untuk keseluruhan Stesen Pengumpulan. Setiap unit seberat 1.8 tan,” jelasnya.

Beliau berpuas hati dengan kelancaran pelaksanaan projek mengikut jadual itu turut berharap kemajuan pembinaan bangunan operasi dan penyelenggaraan yang kini berada pada tahap 90 peratus berjalan lancar.

Untuk rekod, Projek Solar Terapung berkapasiti 98MWdc atau 60MWac tersebut mula dibangunkan oleh Cypark Resources Berhad dengan kerjasama Kelantan Utilities Mubaarakan Holdings Sdn Bhd, anak syarikat Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) pada tahun 2021.

Projek yang bernilai RM500 juta itu adalah bukti komitmen Kerajaan Negeri untuk merealisasikan visi Pembangunan Mampan Negeri Kelantan.

Terdapat empat komponen utama dalam projek tersebut iaitu pulau solar yang dipasang di atas permukaan tasik berkeluasan 164 ekar bersamaan dengan 11 peratus daripada keseluruhan permukaan tasik, Bangunan Operasi dan Penyelenggaraan dibina di atas tapak berkeluasan 2.69 ekar, fasiliti penyambungan – 132kV Overhead Lines Loop In Loop Out (LILO); dan pemasangan kabel penyambung dari Kampung Chandan ke Bukit Kecil sejauh 10 km.