Home Melaka

Rencana | Pemimpin PH terbeban buktikan ‘sembang deras’ semasa jadi pembangkang

170
SHARE

Oleh IBNU JANIE

JIKA kita mengikuti kempen Pakatan Harapan (PH) semasa mereka menjadi pembangkang maka kita akan dapat mendengar betapa mereka akan sentiasa mendakwa bahawa mereka adalah orang yang paling bijak dalam menyelesaikan masalah rakyat sekiranya mereka menjadi kerajaan.

Selama ini mereka memberikan idea-idea yang nampak hebat pada teorinya, tetapi belum terbukti praktikal. Mereka menggunakan segala idea itu untuk rakyat melihat bahawa mereka sangat bijak sebelum idea itu dapat dibuktikan.

Malah, walau pun idea-idea itu belum dibuktikan namun mereka sangat berjaya dalam meyakinkan rakyat dan penyokong mereka bahawa ia memang boleh dilaksanakan.

Baru-baru ini kecoh tentang kenyataan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim bahawa kerajaan tidak mempunyai kuasa untuk masuk campur dalam penentuan OPR. Itu hak mutlak atau ‘wewenang’ Bank Negara, kata Anwar.

Sebagai ‘orang ekonomi’ penulis pun tahu bahawa memang OPR adalah di dalam bidang kuasa Bank Negara dan kerajaan tidak ada kuasa untuk campur tangan.

Namun silapnya ialah semasa pemimpin-pemimpin PH menjadi pembangkang mereka membodoh dan membangangkan Menteri Kewangan yang sedang berkhidmat apabila menteri tersebut menyatakan bahawa dia tidak mempunyai kuasa untuk mengawal OPR.

Akhirnya pemimpin PH terpaksa bercakap benar dan menelan semula kahak mereka yang selama ini membodohkan rakyat. Namun rakyat tetap menuntut apa yang mereka telah katakan dahulu sebagai ‘pulang paku buah keras’. Mereka lupa rakyat bukan semua bodoh dan akan percaya buta-buta seperti penyokong PH dan BN.

Sebelum ini semasa pemimpin-pemimpin PH menjadi pembangkang, apabila berlaku kenaikan harga barang merekalah orang pertama yang akan menyalahkan dan mengecam kerajaan dan menuduh kerajaan tidak berbuat apa-apa.

Apabila mendengar ceramah mereka, apa yang kita faham seolah-olah apabila mereka memerintah maka kita akan melihat bahawa harga barang akan turun sepanjang masa dan setiap tahun makin rendah.

Contoh paling ikonik tentang hal ini ialah mereka mengatakan bahawa kerajaan sepatutnya menurunkan harga petrol yang banyak disebut oleh pakar formula Rafizi Ramli dan Anwar sendiri.

Logik yang mereka beri banyak. Yang pertama kerana kita negara pengeluar petrol. Yang kedua petrol kita berkualiti tinggi dan dieksport dengan harga tinggi, sementara kita menggunakan petrol yang diimport pada harga lebih rendah.

Yang ketiga keuntungan petroleum kita tinggi dan pernah mencecah RM100 bilion setahun, jika kerajaan turunkan harga petrol, masih lagi untung besar. Logik mereka, lebih tinggi harga petrol lebih banyak kerajaan dapat keuntungan maka lebih banyak kerajaan boleh turunkan harga.

Namun apabila Rafizi menjadi Menteri Ekonomi apabila ditanya oleh wartawan tentang penurunan harga petrol dalam satu sidang media, beliau berkata bahawa ia perlu dilihat daripada kemampuan kerajaan untuk memberi subsidi kepada rakyat.

Pemimpin-pemimpin PH perlu menunjukkan bahawa mereka mampu menyelesaikan masalah negara dengan cara yang berbeza atau sekurang-kurangnya berjaya menyelesaikan masalah yang tidak boleh diselesaikan oleh kerajaan terdahulu.

Rakyat mahu melihat menteri-menteri yang dulunya mendakwa diri mereka hebat dan mereka ada cara yang lebih baik jika mereka diberi peluang, maka buktikan sekarang. Perahu sudah di air, dayung sudah di tangan.

Pemimpin PH tidak boleh salahkan rakyat apabila rakyat menuntut bukti atas apa yang mereka dakwa itu semua sebagai kemampuan mereka.

Sekiranya mereka masih juga memberi alasan bahawa kerajaan tidak mempunyai sumber kewangan yang mencukupi untuk menurunkan harga kerana tidak mampu menampung subsidi, ini adalah perkara biasa.

Rencana ini juga disiarkan di ruangan Komen Editor Harakah cetak Edisi Isnin bertarikh 16 Januari 2023.

 

Setakat menurunkan harga barang dengan memberi subsidi daripada dana yang tersedia, itu sesiapa pun boleh melakukan jika mereka jadi menteri. Itu rakyat sudah dengar daripada menteri-menteri kerajaan terdahulu. Rakyat nak lihat penyelesaian cara baru dan luar biasa oleh menteri-menteri PH.

Seperti kata pujangga ‘kemampuan untuk melihat matahari bukan petunjuk penglihatan yang hebat dan kemampuan untuk mendengar bunyi guruh bukan menunjukkan kemampuan pendengaran yang hebat’. Itu adalah perkara biasa yang mampu dilakukan oleh semua orang.

Berat sebenarnya beban yang ditanggung para pemimpin PH akibat daripada kesilapan mereka yang terlalu ‘sembang deras’ dan terlajak kata sekian lama mendakwa mereka sangat bijak laksana.

Penulis adalah Wartawan Harakah, Ketua Editor Pusat bagi Portal Berita PAS dan Ketua Unit Berita Jabatan Penerangan PAS Melaka

 

 

Para penyumbang yang budiman. Keseluruhan projek ini iaitu membina sebuah dewan terbuka beserta dua tingkat pejabat; sebuah bangunan tandas dan membaik pulih bangunan asal sedia ada semuanya bernilai RM900 ribu.

Buat masa ini sedang disiapkan ialah dewan terbuka beserta dua tingkat pejabat yang bernilai RM450 ribu daripada jumlah keseluruhan RM900 ribu.

Pada masa ini pihak kami sangat memerlukan sebanyak RM180 RIBU bagi meneruskan pembinaan dewan terbuka ini untuk MEMBELI STRUKTUR BESI SEBERAPA CEPAT YANG BOLEH untuk menyiapkan dewan terbuka ini. Kami memohon dan merayu sumbangan tuan-tuan dan puan-puan untuk tujuan ini.

Para dermawan yang sudi untuk menghulurkan sumbangan boleh menyumbang kepada akaun Bank Rakyat – PAS Kawasan Masjid Tanah di nombor akaun 1101 6481 22.

Sebarang informasi, para penderma boleh berhubung dengan Ustaz Imran sendiri di talian 019-680 6707 atau Pengerusi Jawatankuasa Pembinaan Kompleks, Jamarudin Ahmad di talian 012-697 2328 atau Bendahari Jawatankuasa Pembinaan, Ustaz Azmi Sambul di talian 013-378 4729.

JAWATANKUASA PEMBINAAN KOMPLEKS PAS KAWASAN MASJID TANAH