Home Melaka

Rencana | Kajian Merdeka Centre: Wajarkah penilaian terhadap Anwar merosot?

84
SHARE

Oleh IBNU JANIE

KAJI selidik terbaru Merdeka Center mendedahkan kadar penilaian kelulusan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri merosot kepada 50 peratus.

Menurut hasil kajian itu, sehingga Oktober lalu, sebanyak 48 peratus responden tidak berpuas hati dengan prestasi Anwar dalam pentadbiran Kerajaan Perpaduan.

Sentimen negatif pengundi berhubung hala tuju negara berikutan kebimbangan terhadap perkembangan ekonomi dan faktor inflasi. 28 peratus responden pula berpandangan bahawa negara mungkin menuju ke hala tuju yang betul.

Hasil kajian itu juga menunjukkan 18 peratus responden yakin negara menuju ke hala tuju yang salah manakala sembilan peratus tidak tahu atau enggan menjawab soalan berkenaan. Hanya tiga peratus responden yang yakin bahawa negara menuju ke hala tuju yang betul.

Responden yang ditemubual dengan menggunakan telefon dari seluruh negara itu terdiri daripada 52 peratus Melayu, Cina (29 peratus), India (tujuh peratus) manakala enam peratus bagi Bumiputera bukan Islam dan Bumiputera Islam.

Anwar dalam respons terhadap hasil kajian tersebut pula berkata kajian itu tidak mewakili keseluruhan 32 juta rakyat Malaysia kerana hanya melibatkan sampel sekitar 1200 orang respondens sahaja.

Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli pula berkata pola kemerosotan sokongan di tengah-tengah pentadbiran adalah perkara normal. Kata Rafizi mana-mana pentadbiran pun tahap sokongan akan jadi tinggi di peringkat awal dan merosot di pertengahannya.

Rafizi juga mendakwa kemerosotan sokongan terhadap Anwar kepada 50 peratus adalah lebih tinggi daripada apa yang direkodkan semasa pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin atau Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob.

Hakikatnya untuk membandingkan antara zaman Muhyiddin dan Ismail Sabri adalah sesuatu yang tidak seimbang. Yang pertama kerana pada ketika itu keadaan politik sangat tidak stabil.


Rencana ini juga disiarkan di Harakah cetak bertarikh 1 Disember 2023

 

Pada masa itu BN sentiasa dalam usaha untuk menjatuhkan kerajaannya sendiri yang dibentuk bersama dengan PERIKATAN NASIONAL dan GPS. Tidak sekadar semasa pentadbiran Muhyiddin dari Bersatu, termasuk juga semasa Perdana Menteri dari Umno sendiri iaitu Ismail Sabri.

Itu belum lagi Anwar dan PH sendiri yang sedang berpakat secara sulit dengan Zahid Hamidi dan bersedia menyambut lahirnya kerajaan baharu sekiranya kerajaan Ismail Sabri atau Muhyiddin tumbang. Lebih memburukkan keadaan bilangan Ahli Parlimen kerajaan yang sangat tipis juga menambahkan ketidakstabilan politik pada ketika itu.

Itu ditambah lagi dengan suasana bencana wabak Covid-19 yang menimpa negara semasa era Muhyiddin dan pasca-Covid-19 di era Ismail Sabri yang memang suasana pada masa itu rakyat berada dalam keadaan tidak selesa.

Itu belum lagi dengan sikap ‘batu api’ pembangkang yang pada ketika itu yang sentiasa menghasut rakyat untuk membuatkan rakyat marah pada kerajaan.

Berbeza langit dengan bumi berbanding zaman pemerintahan PH-BN sekarang ini. Mereka ada majoriti dua pertiga yang mana semenjak 2008 tidak pernah lagi ada kerajaan yang mendapat majoriti dua pertiga seperti dinikmati PH-BN sekarang.

Anwar pula yang sering terbang ke sana sini pulang membawa berbilion-bilion Ringgit pelaburan asing ke dalam negara. Rafizi pula sering mendakwa ekonomi berada dalam keadaan sangat baik.

Kerajaan PH-BN sering mendakwa mereka telah mentadbir dengan penuh tatakelola dan tadbir urus yang cemerlang. Itu belum lagi dengan tekanan kuat yang dikenakan kepada rakyat yang tidak sehaluan dengan PH-BN. Kakitangan awam lebih teruk lagi ditekan dan ditakut-takutkan jika menyokong pembangkang.

Namun, apabila sokongan terhadap Anwar sebagai Perdana Menteri merosot di mata rakyat melalui kajiselidik ini, bermakna banyak yang tidak kena di banyak tempat dalam pentadbiran kerajaan.

Trend sokongan yang kononnya biasanya akan merosot di tengah-tengah pentadbiran seseorang pemimpin adalah satu alasan untuk melepaskan diri dari dapatan kajian yang tidak memihak kepada PH-BN ini.

Kerajaan ini hanya mengaku sendiri bahawa mereka bagus tetapi hakikatnya di mata rakyat tidak. Tidak berpijak di bumi nyata. Umpama kiambang, zahirnya nampak berkembangan, akar tak jejak di dasaran, dan bakal ditumbangkan oleh rakyat bila tiba masanya.

Penulis adalah Wartawan Harakah, Ketua Editor Pusat bagi Portal Berita PAS dan Ketua Unit Berita Jabatan Penerangan PAS Melaka
Rencana ini juga disiarkan di Harakah cetak bertarikh 1 Disember 2023