KOTA BHARU, 28 Dis: Urus setia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan (UPKN) sentiasa mengemas kini strategi bagi memperkasakan sebaran informasi semasa yang tepat berkaitan Kerajaan Negeri kepada anak-anak Kelantan di perantauan.
Menurut Pengarahnya, Kamaruzaman Mohamad, UPKN merencana Program Jelajah Kelantan 2.0 ke seluruh Malaysia pada Januari dan Februari 2023.
“Keberjayaan program tersebut amat memerlukan komitmen rakan startegik UPKN untuk membantu agensi media Kerajaan Negeri menyalur dan menyebarkan informasi semasa berkaitan kejayaan dan kemakmuran Kerajaan Negeri Kelantan selama 32 tahun mentadbir urus negeri ini dengan mengimplementasi dasar Membangun Bersama Islam (MBI) kepada anak-anak Kelantan di perantauan.
Antara rakan strategik UPKN yang terlibat ialah Penghulu Tanpa Mukim Seranta (PTMS),” katanya selepas mesyuarat dengan para PTMS di pejabat UPKN, semalam.
Tambahnya, 14 orang PTMS itu juga akan menjadi penyampai maklumat yang tepat kepada anak perantau dalam usaha menangkis fitnah yang dilemparkan terhadap pemimpin Kerajaan Kelantan atau yang bersangkut-paut dengan Kerajaan Negeri.
Turut hadir, Penolong Pengarah Kanan (Seranta) Abdul Malik Abdul Karim dan para pegawainya.