PASIR MAS, 22 Dis: Tim Urus setia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan (UPKN) mengiringi Exco Hubungan Seranta negeri YB Dato’ Panglima Perang Dato’ Mohd Nassuruddin Daud mengepalai misi agihan bantuan banjir, semalam.
Operasi tersebut menggunakan kekuatan jentera tiga bot laju dan tenaga 12 anggota ke Kampung Kubang Pak Hitam dan Pos Pasukan Gerakan Am (PGA) yang berdekatan.
Antaranya, termasuk empat pegawai UPKN yang diketuai Penolong Pengarah (Hubungan Seranta) Zaharudin Zaid. Mereka membantu mengagihkan 100 pek makanan keperluan harian kepada mangsa banjir dan petugas keselamatan.
Turut menyumbang bakti di lapangan ialah isteri Exco, Datin Panglima Perang Datin Wan Nor Hanita Wan Yaacob.