Home Berita PAS Kelantan

LTSIP bakal bawa pembaharuan, manfaat kepada pengguna

158
SHARE

KOTA BHARU, 22 Dis: “Projek pembesaran dan menaik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) membabitkan kos RM440 juta meliputi keluasan lantai daripada 11,000 meter persegi kepada 36,350.81 meter persegi.”

Demikian menurut Pengurus LTSIP, Suhaimi Abdul Sani ketika ditemui pada 8 Disember di tapak projek berkenaan.

Beliau juga memaklumkan projek tersebut merangkumi dua fasa utama iaitu Fasa I, dijangka siap Jun 2023.

Manakala Fasa II atau keseluruhannya pula dijangka siap pada suku ketiga tahun 2024.

“Antara kerja-kerja naik taraf dan pembaharuan yang dibuat ialah meningkatkan kapasiti bangunan terminal daripada kapasiti 1.5 juta penumpang setahun kepada 4.0 juta penumpang setahun serta pemasangan 850 meter Baggage Handling System (BHS) dengan kemudahan lima level Incline BHS dan penambahan dua taxi way (laluan pesawat).

Di samping itu, kerja-kerja membina bangunan bertingkat yang mengasingkan aras Balai Ketibaan dan Balai Berlepas turut dijalankan.

Terdapat juga kemudahan lain yang turut ditambah baik seperti penambahan Aircraft Parking Bay daripada lima bay kepada 11 bay, manakala Jambatan Udara (Aero Bridge) juga turut bertambah daripada tiga kepada lapan unit,” katanya.

Bagi memberi kemudahan kepada pengguna, beliau menjelaskan bangunan parkir bertingkat turut disediakan dengan jumlah keseluruhannya 1,322 petak berbanding 450 petak sedia ada.

Dalam pada itu katanya, kaunter pendaftaran masuk (check in) penumpang juga bertambah daripada 14 kepada 26 unit, manakala Sistem Pungutan Bagasi pula bertambah kepada empat daripada dua yang asal.

Sementara itu ujarnya lagi, Kompleks VVIP bagi tetamu kehormat turut dibina di bangunan berasingan.