KOTA BHARU, 14 Dis: Projek pembesaran dan menaik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) adalah sejajar dengan peningkatan jumlah kekerapan penerbangan sehingga 40 sehari (pergi dan balik) dan purata jumlah penumpang 4,000 sehari.
“Rekod semalam sahaja mencatatkan 4,800 penumpang dan apabila siap projek pembesaran LTSIP itu nanti dianggarkan purata jumlah penumpang akan turut meningkat daripada 1.4 juta kepada 4 juta setahun.”
Demikian menurut Ketua Operasi Malaysia Airport Sdn Bhd, Muhamad Walid Azman ketika ditemui di tapak operasi projek pembesaran LTSIP, hari ini.
Sehubungan itu, Pengurus LTSIP, Suhaimi Abdul Sani berkata, LTSIP adalah antara lapangan terbang domestik yang paling cepat pulih operasinya akibat kesan pandemik. Kini, 80 peratus iaitu 4,000 penumpang sehari telah direkodkan berbanding 5,000 penumpang sehari pada tahun 2019 sebelum berlakunya pandemik COVID-19.
“LTSIP satu-satunya daripada 19 lapangan terbang domestik di Malaysia yang menawarkan penerbangan secara terus dari Kota Bharu ke Kuching, Kota Kinabalu, Johor, Langkawi dan Pulau Pinang dan perkara ini berlaku kerana ada permintaan tinggi daripada rakyat Kelantan,” katanya.