Home Berita PAS Kelantan

Mesyuarat Majlis Raja-Raja bincang isu semasa, cabaran mendatang

522
SHARE

KUALA LUMPUR, 30 Nov: Menteri Besar Kelantan YAB Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob diperkenankan untuk mengiringi YTM Tengku Mahkota Kelantan Dr Tengku Muhammad Fa-iz Petra ibni Almarhum Sultan Ismail Petra berangkat menghadiri Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-260 di Istana Negara.

Menurut Ustaz Dato’ Ahmad, mesyuarat selama tiga hari itu bermula dengan sesi pra sidang pada 28 November diikuti sidang pada hari pertama dipengerusikan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bermula sekitar pukul 10.30 pagi dan tamat pada pukul 11.40 pagi.

“Majlis Raja-Raja membincangkan perkembangan semasa dan cabaran mendatang. Selain itu, antara perkara yang mengisi agenda mesyuarat adalah mengenai kemajuan hal ehwal agama dan pembaharuan institusi Islam negara,” katanya.

Mesyuarat tersebut berlangsung hingga hari ini (30 November), selepas kali terakhir diadakan pada 29 dan 30 Jun lalu dipengerusikan DYMM Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin ibni almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail.

Unit Media Pejabat Sultan Kelantan melalui laman rasminya memaklumkan sebelum mempengerusikan mesyuarat berkenaan, Tuanku Muhriz berkenan memberi tabik hormat ke atas Kawalan Kehormatan Utama (KKU) yang dibarisi Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja di Dataran Utama.

Disusuli upacara Tuanku Muhriz menanam pokok Buah Ajaib di perkarangan Istana Negara sebagai simbolik Yang Dipertuan Negeri Sembilan mempengerusikan Mesyuarat Majlis Raja-Raja pada kali ini.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah turut berkenan menyaksikan upacara tersebut.

Kredit foto: Unit Media Pejabat Sultan Kelantan