KOTA BHARU, 29 Nov: Kerajaan Negeri melalui Pejabat Tanah dan Jajahan seluruh Negeri bersama Pejabat Pertanian Jajahan Negeri Kelantan sedang dalam tindakan mengenalpasti baki tanah terbiar yang berpotensi untuk dimajukan sebagai tapak pertanian, demikian kata Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar, YB Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail.
Tambahnya, kerajaan negeri menyediakan peruntukan sebanyak RM 11,400,000.00 di bawah Program Pembangunan Tanah Terbiar bermula tahun 2006 sehingga 2022 yang melibatkan pembangunan tanah terbiar seluas 2833.67 ha bagi seluruh negeri Kelantan. Manakala bagi peruntukan persekutuan pula kerajaan negeri telah menerima peruntukan sebanyak RM 13,736,600.00 sejak tahun 2008 sehingga 2019 yang melibatkan pembangunan tanah terbiar seluas 999.85 ha.
“Tanah-tanah terbiar milik sendiri atau sewaan tersebut telah dibangunkan dengan tanaman kekal seperti kelapa, durian dan limau madu serta tanaman singkat masa (cash crop) seperti tembikai, nenas, cili, timun, jagung, melon dan tanaman-tanaman lain. Oleh sebab itu, kerajaan negeri Kelantan mengharapkan peruntukan dari kerajaan pusat dapat ditingkatkan sekaligus bersama dalam menjayakan program seumpama ini dibawah seliaan agensi persekutuan lain juga diharapkan dapat diteruskan dan diperhebatkan dimasa hadapan,”ulasnya.
Justeru, untuk tahun 2023 peruntukan tanah terbiar telah disediakan sebanyak RM600,000.00 dengan melibatkan sebanyak 44 projek dengan keluasan sebanyak 44.4ha. Manakala petani yang terlibat adalah seramai 48 orang. Antara tanaman yang diusahakan adalah durian, jambu batu, kelapa, tembikai dan cili yang mampu mengeluarkan hasil tanaman dengan kapasiti hasil 5292.48MT/ha dengan anggaran pendapatan Rm 18,342,000.00 dalam tempoh 5 tahun.