KOTA BHARU, 27 Nov: Negeri Kelantan telah mendapat Pensijilan Pengurusan Kualiti MS ISO 9001:2015 di bawah skop pengurusan pengeluaran kayu bulat secara berkekalan bagi hutan darat asli di Hutan Simpanan Kekal (HSK) pada 6 Julai 2022 yang lalu dan ianya berkuatkuasa sehingga 5 Julai 2025.
Menteri Besar Kelantan, YAB Dato’ Bentara Kanan Ustaz Ahmad Yakob yang juga Exco Sumber Asli Negeri Kelantan berkata, anugerah itu diperolehi kerana pengurusan hutan di Kelantan dapat mengikut setiap garis panduan atau sop serta ketetapan yang dibuat oleh badan pensijilan.
Selain itu, katanya, Negeri Kelantan juga komited memberikan perkhidmatan yang cekap dan berkesan dalam Pengurusan Pengeluaran Kayu Bulat Secara Berkekalan bagi Hutan Darat.
“Satu perkara lagi ialah amalan Pengurusan Hutan Secara Berkekalan (PHSB) berdasarkan jadual Catutan Tebangan Tahunan (CTT) di negeri kelantan yang dikeluarkan oleh hutan negara juga menjadi antara faktor penyumbang kenapa Kelantan diberi anugerah pensijilan ISO tersebut.”
Demikian menurut Dato Ahmad yakob ketika menjawab persoalan daripada Ahli Dewan Undangan (ADUN) Kelaboran, YB Mohd Adanan Hassan berkenaan dengan bagaimana Kelantan mendapat anugerah pensijilan tersebut di Persidangan Kali Yang Ketiga (Belanjawan) bagi Tempoh Penggal yang Kelima, Dewan Negeri Kelantan ke-14, hari kedua, hari ini.