Oleh M Razif Jamal
TENGGARA, 05 NOV : Calon Perikatan Nasional P.155 Tenggara, Leftenan Kolonel (B) Haji Mohd Nazari Mokhtar kelihatan mula memasuki Pusat Penamaan Calon di Dewan Serbaguna Taman Kota Jaya Kota Tinggi , pada jam 9.10 pagi ini, di sini.
Beliau turut bersama berhimpun dengan para penyokong PN berdekatan pusat berkenaan, yang dimulai dengan munajat dan doa dipimpin oleh Pasukan Kempen Ulamak.
Perarakan menuju pusat penamaan diiringi pihak keselamatan Jabatan Amal Malaysia (JAM) dan Polis Di Raja Malaysia (PDRM), yang turut mengawal ketat keselamatan para peserta himpunan bagi mengelak sebarang insiden provokasi pihak lawan.
Hujan gerimis yang turun tidak menghalang laungan semangat dan kempen dari ke semua kumpulan peserta parti bertanding yang berhimpun di pekarangan pusat ini, di sini.
Pertandingan empat penjuru dijangka berlaku dimana Nazari akan bertembung dengan calon dari Barisan Nasional, Manndzri Nasib; calon Pakatan Harapan, Zuraidah Zainab M.Zain dan calon Gerakan Tanah Air, M Azhar Palal ; yang menyaksikan ke semua calon merupakan muka baru yang dicalonkan bertanding berdasarkan pengumuman calon yang telah dibuat oleh kesemua parti itu baru-baru ini.
Pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke 14, Parlimen Tenggara telah dimenangi oleh calon BN, Datuk Seri Dr. Adham Baba dengan majoriti 5,933 undi selepas memperolehi 20,142 undi menewaskan calon PAS, Yuhanita Yunan (2,683 undi) dan calon PH, Norjepri Mohamed Jelani (14,209 undi).
Sebelum ini, Negeri Johor telah mengadakan Pilihanraya Negeri pada Mac yang lalu dan Barisan Nasional mendapat 40 kerusi, Perikatan Nasional (3), PH (12) dan Muda (1).
PRU 15 diadakan setelah Parlimen dibubarkan pada 10 Oktober lepas oleh Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Seri Ismail Sabri setelah diperkenankan oleh KDYMM SBP Yang di-Pertuan Agong XVI Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan tarikh penamaan calon adalah pada 5 November manakala pengundian awal pada 15 November dan tarikh keluar mengundi pada 19 November.