Home Berita PAS Kelantan

Menteri puas hati kesiapsiagaan banjir di Kelantan

167
SHARE

RANTAU PANJANG, 17 Oktober: Penyandang taklif Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad berpuas hati dengan kesiapsiagaan bantuan bencana monsun timur laut oleh agensi-agensi yang terbabit di negeri Kelantan.

Beliau berkata demikian pada sidang media ketika mengadakan lawatan ke Tapak Projek Tebatan Banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di Kampung Tersang, Rantau Panjang, semalam.

“Menurut maklumat yang kita terima daripada Jabatan Meteorologi Malaysia baki hujan masih ada 40 peratus dan kita berharap ia tidak turun sekaligus. Bagaimana pun projek pembinaan laluan air yang dibina di Kampung Tersang ini mampu mengurangkan kurang lebih 70 peratus aliran,” katanya.

Tambahnya, jika berlaku pertembungan antara Pilihan Raya Umum (PRU) dan banjir, pihaknya sudah mempunyai jalan penyelesaian tersendiri yang mana salah satu usahanya menjadikan pusat mengundi juga sebagai Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Berhubung perkara yang sama, beliau berharap semua agensi terus memberi kerjasama yang baik dalam mendepani sebarang kemungkinan.

Turut sama, penyandang kerusi parlimen Rantau Panjang, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff, Ketua Jajahan Pasir Mas, Hazmi Abdul Hamid dan pegawai agensi kerajaan antaranya Jabatan Penerangan Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).