Home Berita PAS Pahang

PAS Kuantan rai pelajar-pelajar ke universiti

213
SHARE

Oleh FARIDAH KAMARUDDIN

KUANTAN, 17 Okt :: Lajnah Pendidikan PAS Kawasan Kuantan dengan kerjasama Dewan Muslimat PAS Kuantan (DMPK) dan Unit Daerah Mengundi (UDM) Kampung Belukar telah meraikan 23 orang pelajar yang telah berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti awam dan swasta dalam program Road to University di Pondok Pemuda Batu 3 di sini semalam.

Pihak penganjur telah menyediakan sejumlah wang bagi setiap pelajar sebagai tanda sokongan dan empati dari PAS terhadap pihak ibu bapa dalam membuat persediaan perbelanjaan anak-anak  ke universiti.

“Program ini diadakan untuk menyuntik semangat dan memberi sokongan moral kepada pelajar-pelajar yang berjaya di samping mengeratkan ukhwah antara yang hadir,” Ujar Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Kuantan, Wan Razali Wan Nor dalam ucapan perasmiannya.

“Kita sebagai ibu bapa kena memberi kefahaman agama kepada anak-anak sejak awal lagi untuk menjadikan mereka anak-anak yang soleh dan berjaya di dunia dan akhirat.

“Semoga ketika di universiti, mereka memilih dan mendapat suasana pendidikan terbaik di samping ibu bapa juga mesti sentiasa memantau keberadaan mereka di sana sehingga tamat pengajian,” tambah Wan Razali.

Turut mengiringi beliau ialah Ketua Pemuda PAS Kuantan, Wan Azmi Wan Mamat.

Sementara itu, Bekas Penghulu Kuala Penor, Mohamed Hafizal Mohamed Shah telah dijemput memberi santapan rohani, antaranya menekankan bahawa perkara yang paling utama dalam hidup seorang pelajar adalah ibunya.

“Sebab itu pendidikan awal seorang pelajar adalah di rumah.

“Di rumahlah bermulanya tarbiyah yang akan menentukan corak hidup masa depan anak-anak mereka di sudut peribadinya, kerjayanya, keluarganya, perjuangannya, hidup bermasyarakatnya dan bernegara,” ujar beliau.