RANTAU PANJANG, 18 September: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gual Periok, Datuk Mohamed Awang berhasrat menjadikan aktiviti Sayembara Deklamasi Puisi untuk pelajar-pelajar sekolah menengah dan rendah sebagai aktiviti tahunan Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Gual Periok.
Menurutnya, pertandingan tersebut akan diperluaskan kepada kategori dewasa dan kategori penjawat awam. “Melihat kepada sambutan yang menggalakkan iaitu 14 buah sekolah rendah, sekolah agama dan sekolah jenis kebangsaan Cina manakala enam sekolah menengah yang mengambil bahagian, insya Allah kita akan masukkan program ini sebagai aktviti tahunan DUN.
Kita percaya aktiviti yang menyerlahkan bakat, menyemarakkan semangat patriotik dapat menerapkan nilai murni kepada para pelajar dan masyarakat umum serta kakitangan kerajaan,” katanya ketika merasmikan majlis penyampaian hadiah Sayembara Deklamasi Puisi pusingan akhir di Dewan Terbuka Sekolah Menengah Rantau Panjang pada 16 September.
Juara Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan bagi kategori sekolah menengah membawa pulang wang tunai RM250 dan sijil dimenangi pelajar tingkatan dua Maahad Muhammadi Rantau Panjang, Nik Batrisyia Munawwarah Nik Faizul Akma. Manakala bagi kategori sekolah rendah dimenangi Mohd Shaqif Irfan Sabri dari SK Gual Sitok yang membawa pulanng wang tunai RM150 dan sijil.
Program anjuran Pusat Khidmat DUN Gual Periok dengan kerjasama Persatuan Kembara Sastera (KS) itu turut menobatkan penggerak sastera Mukhtar Mustafa sebagai Tokoh Penulisan DUN Gual Periok.