Home Melaka

Rencana | PRU15 : Imbangi antara realiti ‘peperangan’ dan impian penyatuan ummah

170
SHARE

Oleh IBNU JANIE

PESURUHJAYA PAS Perak, Razman Zakaria semasa berucap di Konvensyen Perikatan Nasional (PN) yang berlangsung di MAEPS Serdang pada 27 Ogos lepas ada menyarankan tiga tindakan yang perlu dilakukan bagi mengelakkan kesilapan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor berulang.

Yang pertama, menurut beliau, pembahagian kerusi dan penetapan calon mesti dilakukan segera supaya gerak kerja boleh dimulakan. Yang kedua putuskan segera logo yang ingin digunakan. Yang ketiga perlu membina naratif propaganda dan kuasai media sosial.

Razman Zakaria ketika berucap di dalam Konvensyen Perikatan Nasional

 

Sebagai seorang yang pernah terlibat dalam PRN Melaka dan Johor, penulis akui memang banyak perkara yang diputuskan lewat sehingga mengganggu perjalanan persiapan pilihan raya. Namun pada waktu PRN Johor keadaan sedikit lebih baik.

Dalam PRN Melaka tidak dapat dinafikan bahawa pada masa itu PAS masih belum dapat membuat keputusan samada untuk bersama dengan Umno atau bersama dengan PN walau pun PAS sudah menjadi anggota komponen parti gabungan itu.

Walau pun naratif PAS pada masa itu mahukan kedua-duanya namun ia tidak seperti yang diimani oleh Umno. Umno memberi kata dua bahawa PAS harus memilih samada untuk bersama Umno atau bersama Bersatu-PN. Malah Bersatu pada masa itu juga mahukan persepakatan bersama Umno.

Namun PAS tetap berusaha untuk mengadakan perbincangan dengan Umno. Umno pula ‘mengumpan’ PAS dengan kesediaan untuk berunding. Perundingan ini kemudiannya ditangguh-tangguh sehingga keadaan begitu hampir dengan tarikh penamaan calon.

Akibatnya pada masa itu sehingga menjelang penamaan calon tidak ada satu pun kawasan yang dapat ditentukan siapa yang akan bertanding dan parti mana yang akan bertanding serta logo apa yang PAS akan gunakan.

Pilihan samada bersama Umno-BN, tinggalkan Bersatu-PN; atau bersama Bersatu-PN, tinggalkan Umno-BN; atau PAS-Bersatu-PN bersama melawan PH, ketiga-tiga opsyen ini membawa natijah yang bezanya antara langit dan bumi.

Bayangkan bagaimana jentera PAS ingin membuat persediaan selagi ianya tidak diputuskan. Akhirnya setelah mengheret PAS ke masa kecederaan Umno-BN memutuskan untuk bertanding solo. Masa itulah jentera PAS kelam kabut membuat persediaan merunding kerusi dengan Bersatu dan mencari calon.

Sedangkan dalam proses Umno-BN ‘kononnya’ mahu berunding dengan PAS, Umno-BN sebenarnya dalam masa yang sama sedang memperkuatkan jentera mereka. Jentera PAS pula sedang menunggu arahan tidak boleh mula apa-apa lagi.

Dan tidak mustahil strategi ini Umno-BN akan gunakan lagi pada PRU-15 untuk menghuru-harakan jentera PAS. Pimpinan PAS kena hati-hati.

Dan semasa ‘peperangan’ berlangsung pula jentera PAS menerima arahan untuk tidak menyerang Umno-BN. Sedangkan Umno-BN pada masa itu tidak segan silu menyerang PAS-PN tanpa belas kasihan.

Dan lama selepas PRN Melaka dan Johor, dalam program-program lanjutan berkaitan dengan pilihan raya pasti ada yang akan membangkitkan betapa banyaknya ‘peluru-peluru’ yang boleh digunakan untuk menyerang Umno-BN pada masa itu yang langsung tidak dapat digunakan terbiar ‘usang di dalam gudang’.

Ada yang merasionalkan arahan ini bahawa terdapat kemungkinan bahawa PAS dan Bersatu akan bersama semula dengan Umno-BN sekiranya mereka gagal mendapat majoriti mudah membentuk kerajaan sendiri. Nanti ‘tidak manis’ jika kita sudah serang menyerang kemudian terpaksa mengadap semula muka masing-masing.

Namun itulah hakikat peperangan. Umno-BN juga tahu jika mereka gagal mendapat majoriti mudah dan PAS mempunyai kerusi mereka akan mengadap muka PAS juga. Namun semasa ‘berperang’ mereka berperang bersungguh-sungguh.

Penulis rasa inilah yang dimaksudkan oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Ahmad Fadhli Shaari, ketika menyampaikan ucaptama dalam Muktamar Pemuda Pusat lepas bahawa pimpinan harus menetapkan siapa kawan, siapa lawan lebih awal supaya tidak terlewat masuk gelanggang sedangkan musuh sudah lama bersedia.

Bagi penulis hasrat PAS untuk menyatukan ummah melalui penyatuan parti-parti politik Melayu adalah satu niat yang suci dan satu agenda yang maha besar. Ia memang sukar difahami oleh mereka yang bertuhankan kuasa dan politik semata-mata.

Kalau pakar perperangan ada mengatakan ‘jika anda ingin keamanan, maka bersedia untuk berperang’, penulis katakan ‘jika ingin lihat parti-parti politik Melayu bersatu, tewaskan Umno-BN’ dulu. Maka masa itu PAS-Bersatu-Umno lebih mudah disatukan.

Penulis adalah Ketua Editor Pusat bagi Portal Berita PAS dan Ketua Unit Berita Jabatan Penerangan PAS Melaka

Rencana ini juga disiarkan di Harakah cetak Edisi Jumaat bertarikh 16-18 September 2022

 

 

Para penyumbang yang budiman. Keseluruhan projek ini iaitu membina sebuah dewan terbuka beserta dua tingkat pejabat; sebuah bangunan tandas dan membaik pulih bangunan asal sedia ada semuanya bernilai RM900 ribu.

Buat masa ini sedang disiapkan ialah dewan terbuka beserta dua tingkat pejabat yang bernilai RM450 ribu daripada jumlah keseluruhan RM900 ribu.

Pada masa ini pihak kami sangat memerlukan sebanyak RM180 RIBU bagi meneruskan pembinaan dewan terbuka ini untuk MEMBELI STRUKTUR BESI SEBERAPA CEPAT YANG BOLEH untuk menyiapkan dewan terbuka ini. Kami memohon dan merayu sumbangan tuan-tuan dan puan-puan untuk tujuan ini.

Para dermawan yang sudi untuk menghulurkan sumbangan boleh menyumbang kepada akaun Bank Rakyat – PAS Kawasan Masjid Tanah di nombor akaun 1101 6481 22.

Sebarang informasi, para penderma boleh berhubung dengan Ustaz Imran sendiri di talian 019-680 6707 atau Pengerusi Jawatankuasa Pembinaan Kompleks, Jamarudin Ahmad di talian 012-697 2328 atau Bendahari Jawatankuasa Pembinaan, Ustaz Azmi Sambul di talian 013-378 4729.

JAWATANKUASA PEMBINAAN KOMPLEKS PAS KAWASAN MASJID TANAH