TUMPAT, 11 September: Program Jualan Murah Keluarga Malaysia (PJMKM) yang diperkenalkan oleh Kerajaan Pusat melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Kementerian Pertanian Dan Industri Makanan (MAFI) dengan kerjasama Pusat Khidmat Parlimen dan Pusat Khidmat DUN seluruh Negeri Kelantan mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada penduduk sekitar.
Penganjuran PJMKM tersebut bertujuan mengurangkan beban kos sara hidup masyarakat dan ia adalah salah satu inisiatif kerajaan bagi membantu masyarakat atau pengguna membeli barangan keperluan di kedai runcit tempatan dengan harga berpatutan dan potongan sehingga 20 peratus.
Menteri Besar Kelantan, YAB Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob semasa meninjau PJMKM peringkat DUN Pasir Pekan di perkarangan Pusat Khidmat DUN berkata sehingga semalam, sebanyak 22 kawasan DUN di Kelantan telah melaksanakan PJMKM dengan nilai jualan lebih RM1.2 juta dan kehadiran 24,335 pengunjung.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Pekan turut memaklumkan sebanyak 38 DUN seluruh Negeri Kelantan akan mengajurkan PJMKM secara serentak pada tarikh 10 dan 11 September termasuk 23 DUN yang mengadakannya buat kali pertama.
“Ini menjadikan semua 45 kawasan DUN di Kelantan telah melaksanakannya sekurang-kurangnya satu kali hingga tiga kali. Tahniah dan terima kasih MAFI yang memainkan peranan dalam memastikan kelangsungan sektor agromakanan di setiap peringkat rantaian makanan agar rakyat dapat memperolehi bekalan makanan yang mencukupi dan berkhasiat,” ujarnya.
PJMKM akan terus dilaksanakan di seluruh DUN di Negeri Kelantan bermula bulan September hingga Disember berdasarkan pemilihan premis mengikut cadangan pihak ADUN dengan persetujuan pemilik premis.
Antara barangan keperluan harian yang ditawarkan diskaun ialah ayam, ikan dan hasil laut, telur ayam, gula, minyak masak, tepung gandum, beras serta sayur-sayuran.