Home Berita PAS Kelantan

160 beliawanis dan surirumah Kuala Krai mendapat Kit Dapur Hijau

84
SHARE

DABONG, 16 Ogos: Program Dapur Hijau merupakan program tahunan kerajaan negeri yang dianjurkan oleh Kelantan Biotech Corporation Sdn Bhd (KBCSB) dengan kerjasama teknikal daripada Jabatan Pertanian Negeri Kelantan (JPNK). Manakala pemantauan program ini akan dilakukan oleh para penghulu wanita di peringkat Parlimen dan DUN seluruh negeri Kelantan.

Semalam telah diadakan taklimat dan pengagihan 160 Kit Dapur hijau dan anak limau kasturi di peringkat parlimen Kuala Krai yang disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Teknologi Hijau dan Bioteknologi Negeri Kelantan, YB Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail bertempat di Surau Gua Ikan Dabong.

Menurut YB Tuan Saripudin, objektif utama program Dapur Hijau ialah menggalakkan suri rumah supaya menanam sendiri sayuran yang dimakan dan ini akan mengurangkan perbelanjaan dapur mereka. Menurutnya lagi, program dapur hijau ini lebih menggalakkan beliawanis dan suri rumah menanam menggunakan kaedah pertanian organik tanpa racun dan kimia sintetik yang boleh memberi kesan kepada kesihatan.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dabong, YB Ustaz Ku Zaki Ku Husen, wakil KBCSB dan 40 penerima Kit Dapur Hijau Dun Dabong yang terdiri daripada beliawanis dan suri rumah.

YB Exco juga berkesempatan bersama rombongan melawat beberapa tempat, antaranya Jualan Keluarga Malaysia, Kolam Ikan Jelawang Pipe dan beberapa kawasan pelancongan lagi.