Home Berita PAS Kelantan

Lekar Kemahang kian popular, jadi sumber pendapatan baharu suri rumah

88
SHARE

TANAH MERAH, 9 Ogos: Lekar Kemahang diperbuat daripada lidi kelapa sawit yang dilentur dan dianyam berselang-seli mengikut susunan ditetapkan untuk membentuk corak yang dikehendaki.

Kraf itu semakin dikenali dan mendapat sambutan masyarakat setempat dan luar Kelantan, sekali gus memberi pendapatan tambahan kepada golongan suri rumah.

26 peserta perintis dipilih mengikuti latihan di Makmal Pembangunan dan Pengeluaran Produk Kraf Lekar Sawit Kemahang.

Kraftangan Malaysia cawangan Kelantan selaku pengendalinya berjaya melatih para peserta itu pada 17 hingga 21 Julai dan membuahkan hasil apabila produk kraf tersebut mendapat sambutan untuk membuat pameran di dalam dan luar Kelantan.

Antara pameran yang disertai ialah di Festival Masakan Warisan Melaka 2022 pada 22 hingga 24 Julai di Kompleks Warisan Melaka, Jalan Kota dan di Program Demonstrasi Masakan dan Kraf Tradisional pada 6 Ogos lalu di Kampung Kraftangan, Kota Bharu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemahang, YB Dato’ Mejar (B) Md Anizam Ab Rahman berkata Lekar Kemahang itu terhasil daripada cetusan idea untuk menghasilkan produk hiliran yang menyumbang pendapatan sampingan kepada isi rumah.

“Sesuai dengan faktor demografi dan geografi Kemahang itu sendiri yang kaya dengan kelapa sawit, maka terhasillah Lekar Kemahang yang diperbuat daripada lidi kelapa sawit sebagai peralatan tradisional Melayu yang digunakan untuk meletakkan periuk atau kuali.

Kini, kegunaan lekar telah dipelbagaikan fungsinya sebagai produk kraf dan sering digunakan sebagai barang perhiasan dan bekas peralatan kecil di rumah khususnya sebagai tempat meletak buah-buahan,” katanya.

Menurutnya lagi, sehingga kini, usaha untuk memantapkan kualiti dan kreativiti kepelbagaian rekaan bentuk Lekar Kemahang masih diteruskan.

Harga pasaran semasa Lekar Kemahang ialah antara RM7 hingga RM10 mengikut saiz dan reka bentuk.