Home Berita PAS Kelantan

Madinatul Riadah dibina awal 2023

43
SHARE

PASIR PUTEH, 9 Ogos: Komitmen Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dalam membangunkan kemudahan yang mengutamakan aspek gaya hidup sihat, sosial dan sukan Keluarga Malaysia di Negeri Kelantan amat positif.

Atas dasar federalisme, Kerajaan Persekutuan telah meluluskan peruntukan perbelanjaan pembangunan (DE) RM256 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi pembinaan sebuah kompleks sukan di Bukit Merbau Selising, Pasir Puteh.

Projek Madinatul Riadah Bukit Merbau itu akan dilengkapi stadium utama berkapasiti 20,000 penonton, arena tertutup yang boleh memuatkan 1,000 penonton, stadium hoki dengan astaka yang berkapasiti 500 penonton, pusat skuasy dengan kapasiti 100 penonton, gelanggang boling padang berbumbung dengan kapasiti 200 penonton dan lapang sasar sukan menembak dengan kapasiti 100 penonton. Kompleks sukan terbesar bakal menjadi salah satu lokasi Sukan Malaysia (SUKMA) edisi ke-22 pada tahun 2026 di Kelantan.

Berucap semasa mengadakan lawatan ke tapak Kompleks Sukan Bukit Merbau, Ahad lepas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), YB Dato’ Sri Mustapa Mohamed berkata projek pembinaan Kompleks Sukan Bukit Merbau di atas tapak seluas 160 ekar kini berada di peringkat pra-pelaksanaan.

Katanya, makmal pengurusan nilai telah diadakan pada Jun 2022 lalu. Tender bagi kompleks sukan ini akan dilaksanakan secara berperingkat mengikut komponen-komponen kemudahan di situ dan dimulakan dengan tender bagi pembinaan stadium yang akan dikeluarkan pada penghujung Ogos 2022.

“Pembinaan kompleks ini dijangka bermula pada awal tahun 2023 dan akan siap sepenuhnya pada penghujung tahun 2025,” jelasnya.

Menurut beliau lagi, kompleks sukan ini bakal mempunyai kemudahan seperti ruang pejabat, bilik persalinan, bilik rawatan, bilik media, bilik doping, surau dan gimnasium.

Manakala pelaksanaan pembinaan semua projek infrastruktur itu akan dipantau rapi oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU, JPM) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) demi memastikan pembinaannya mengikut jadual yang ditetapkan, khususnya untuk kegunaan semasa temasya SUKMA Kelantan 2026.

Lawatan yang diselaraskan bersama oleh Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan (SUK) dan Jabatan Kerja Raya Negeri Kelantan (JKR) itu turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO Negeri Kelantan, YB Wan Roslan Wan Hamat.

Turut mengiringi, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (UDUN) Selising, YB Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail, Pengarah Tanah dan Galian Negeri Kelantan, Dato’ Zamri Ismail, Pengarah JKR Negeri Kelantan, Ir Mohd Suhaili Ismail dan Ketua Jajahan Pasir Puteh, Ahmad Adlee Yasin.