KOTA BHARU, 7 Ogos: Perbadanan Pembangunan Ladang Rakyat (PPLR) telah ditubuhkan pada tahun 2006 bertujuan membasmi kemiskinan dalam kalangan rakyat, sekali gus Kerajaan Kelantan dapat mengekang masalah pencerobohan haram ke atas tanah kerajaan.
“Sehingga kini, jumlah dividen bulanan yang telah diagihkan kepada peserta ladang rakyat adalah sebanyak RM 161.4 juta. Manakala jumlah terkini peserta ladang rakyat adalah seramai 4,713 orang termasuk 208 daripadanya dari kalangan Orang Asli.”
Demikian ucapan Menteri Besar Kelantan YAB Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob semasa merasmikan Majlis Himpunan Perdana Peserta Ladang Rakyat Negeri Kelantan di Dewan Besar PUTIK Pengkalan Chepa, semalam.
Dato’ Ahmad yang juga merangkap Pengerusi (PPLR) berkata pihak PPLR telah menubuhkan tabung caruman berbentuk takaful untuk menjaga kebajikan peserta. Selain itu, Koperasi Peserta Ladang Rakyat (KOPELADA) telah ditubuhkan bagi memacu ekonomi terutama dalam kalangan peserta dan keluarga ladang rakyat.
Majlis turut dihadiri, Timbalan Menteri Besar Kelantan, YB Dato’ Mohd Amar Abdullah, Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan, Dato’ Abdullah Ya’kub dan Ketua Operasi PPLR, Mohd Zain Mat.